Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Presiden Muda mahu had dua penggal untuk kepimpinan parti
Diterbitkan:  Mar 20, 2026 2:44 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Presiden baru Muda, Amira Aisya Abdul Aziz menyasarkan untuk memperkenalkan had dua penggal bagi jawatan kepimpinan parti sebagai sebahagian usaha lebih luas ke arah reformasi dalaman.

Menurutnya langkah itu bertujuan mengelakkan kuasa tertumpu kepada segelintir individu serta mencegah potensi penyalahgunaan.

Adun Puteri Wangsa itu dipetik FMT berkata penting untuk parti melaksanakan dasar sedemikian di peringkat dalaman terlebih dahulu sebelum memperjuangkannya di peringkat nasional.

“Saya sentiasa percaya bahawa apa sahaja reformasi yang Muda ingin bawa kepada Malaysia yang kita cintai mesti terlebih dahulu tercermin dalam parti kita,” kata Amira.

Katanya had penggal merupakan sebahagian daripada manifesto dalam pemilihan parti baru-baru ini, sambil menambah bahawa beliau tidak berhasrat memegang jawatan bendahari parti, satu pendirian yang mencerminkan penolakannya terhadap pemegangan peranan yang bertindih.

Amira kini menerajui Muda selepas bekas presidennya, Syed Saddiq Abdul Rahman meletak jawatan pada 2023 selepas didapati bersalah dalam kes pecah amanah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara pada Jun lalu membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada empat pertuduhan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada Bersatu berjumlah RM1.12 juta.

Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan. Kemudian pada Disember, Mahkamah Persekutuan dalam langkah jarang berlaku mengarahkan pihak pendakwaan meneliti semula pendirian untuk mengembalikan empat pertuduhan jenayah terhadap Syed Saddiq.

Sementara itu, Amira turut dilaporkan memberi bayangan bahawa beliau berkemungkinan mempertahankan kerusi DUNnya pada pilihan raya negeri Johor akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS