PANDUANKINI | Malaysia sering dipuji sebagai model keharmonian masyarakat majmuk.
Namun, di sebalik kepelbagaian itu terselit satu isu lama yang berulang kali mencetuskan ketegangan — status tanah rumah ibadat.
Setiap kali jentolak mula bergerak ke tapak yang dianggap suci, istilah "kuil haram" kembali menguasai ruang media sosial.
Persoalannya, adakah polemik ini sekadar konflik antara undang-undang tanah dan kebebasan beragama atau ia sebenarnya warisan sejarah buruh migran era penjajahan yang tidak pernah diselesaikan secara tuntas sejak peralihan negara daripada ekonomi perladangan kepada perindustrian.

Apa itu ‘kuil haram’?
Secara asas, istilah ini merujuk kepada rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan pelan bangunan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau didirikan di atas tanah yang bukan milik pengurusan kuil.
Namun, realitinya jauh lebih kompleks daripada definisi teknikal semata-mata.
Bagaimana kuil-kuil ini dibina?
Untuk memahami kewujudan kuil-kuil ini, sejarah perlu ditelusuri kembali ke era penjajahan British.
Di estet-estet terpencil, kuil Hindu bukan sekadar tempat ibadat. Ia menjadi pusat sosial, ruang berkumpul dan sumber identiti bagi buruh migran dari India Selatan.
Pengurus estet British lazimnya membenarkan pembinaan kuil kecil bagi menjaga kebajikan dan kestabilan tenaga kerja.
Namun, kebenaran itu sering bersifat tidak rasmi — sekadar "persefahaman budi bicara" tanpa sebarang geran tanah.

Keadaan mula berubah pada 1950an apabila landskap ekonomi dan politik bergolak. Penamatan operasi syarikat asing, kemerdekaan negara, serta perubahan struktur ekonomi menyaksikan ladang-ladang getah dipecah dan dijual.
Apabila tanah estet beralih tangan kepada pemaju, khususnya pada era 1980an dan 90an, banyak kuil ini “tertinggal” di atas tanah yang kini menjadi milik swasta.
Pada masa sama, pemecahan ladang kepada lot kecil mempercepat pemindahan pemilikan kepada pelabur tempatan.
Proses ini memberi kesan besar kepada komuniti pekerja ladang India yang bergantung kepada sektor tersebut.Ramai kehilangan pekerjaan, berpindah ke kawasan bandar atau tanah kerajaan dan membina semula rumah ibadat di kawasan baru.
Di sini label “haram” digunakan — apabila struktur lama bertembung dengan logik pembangunan moden.

Kenapa ada kuil di tanah kerajaan seperti hospital?
Sebahagian kuil pula dibina di atas tanah kerajaan seperti hospital dan universiti, terutamanya sekitar 1960-an dan 70-an.
Ketika itu, kebenaran sering diberikan secara tidak rasmi oleh pihak pentadbiran untuk memenuhi keperluan kerohanian kakitangan.
Namun, ketiadaan dokumen rasmi kemudian menjadi punca utama pertikaian.
Berapa banyak kuil belum berdaftar dan berapa banyak belum diputihkan?
Tiada angka muktamad bagi jumlah kuil tidak berdaftar di Malaysia.
Bagaimanapun, anggaran pertubuhan masyarakat Hindu menunjukkan jumlahnya melebihi 3,000, berbanding 868 kuil berdaftar di Semenanjung.
Di Selangor sahaja, sehingga 31 Januari 2026, terdapat 687 kuil tanpa kelulusan — 388 di atas tanah kerajaan dan 299 di tanah persendirian.
Bagi menangani isu ini, Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan memperkenalkan sistem klasifikasi empat warna: hijau, kuning, jingga dan merah, berdasarkan status dokumentasi.
Sehingga Februari 2026, sekitar 450 kuil telah memberi maklum balas dalam proses bancian tersebut.
Apa isu dan pertikaian undang-undang?
Di sisi undang-undang, kedudukan rumah ibadat ini jelas.Istilah "pencerobohan" di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 sering menjadi rujukan.
Tanpa geran atau pajakan sah, sesuatu struktur dianggap tidak mempunyai kedudukan undang-undang.Kebenaran lisan tidak diiktiraf sebagai bukti pemilikan.

Kenapa wujud bantahan?
Bagi pengkritik, isu ini bukan soal agama tetapi pematuhan undang-undang.
Mereka berhujah bahawa pembinaan di atas tanah orang lain atau tanah kerajaan tanpa kelulusan merupakan pelanggaran jelas.
Selain itu, ada juga kebimbangan terhadap gangguan kepada kemudahan awam.
Pada awal Mac lalu, pendakwah bebas, Zamri Vinoth, ketika membantah sebuah kuil di hadapan Hospital Bukit Mertajam, menegaskan isu tersebut berkaitan dengan hak masyarakat untuk mendapat akses tanpa gangguan ke hospital dan bukannya isu perkauman.
Di ruang awam, persoalan tentang “tanah percuma” turut mencetuskan polemik.

Misalnya, pendakwah bebas, Firdaus Wong pula melalui satu hantaran di Facebook pada 24 Mac 2025 mempersoalkan status tanah baru Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang dipindahkan di Kuala Lumpur.
Dia bertanya secara terbuka sama ada tanah tersebut "dibeli oleh pihak kuil atau diberikan secara percuma oleh kerajaan."
Dia juga memberi amaran bahawa jika tanah itu "dihadiahkan", ia akan mewujudkan "bad precedent" yang akan dimanipulasi oleh penceroboh tanah pada masa hadapan.
Pun begitu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaliha Mustafa kemudian menyangkal dakwaan Firdaus Wong sambil menjelaskan kerajaan memberikan pampasan berjumlah RM2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

Macam mana kuil boleh jadi polemik politik?
Isu ini tidak kekal dalam ruang perbincangan teknikal semata-mata, sebaliknya berkembang menjadi polemik politik.
Penggunaan istilah “haram” dalam wacana awam, termasuk oleh kepimpinan tertinggi negara, mencetuskan perdebatan lebih luas tentang implikasinya terhadap persepsi masyarakat.
Di satu pihak, suara lantang menuntut penguatkuasaan tegas undang-undang semakin menonjol.
Di pihak lain, pemimpin komuniti Hindu seperti M Saravanan dan V Ganabatirau menyeru agar penggunaan istilah tersebut dihentikan dan proses pemutihan dipercepatkan.
Tokoh seperti P Ramasamy pula mengkritik keras pendekatan kerajaan, mendakwa bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri telah menjadikan istilah "haram" sebagai "senjata ideologi dan politik" terhadap komuniti Hindu.

Mengapa ‘kuil haram’ sukar selesai?
Menghalalkan status kuil tanpa izin bukan proses mudah. Kanun Tanah Negara menetapkan bahawa pendudukan tanpa kebenaran adalah kesalahan manakala proses mendapatkan geran melibatkan prosedur birokrasi yang panjang dan kompleks.
Organisasi kuil perlu berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan melalui pelbagai agensi kerajaan sebelum sebarang kelulusan diberikan.
Bagi tanah swasta, kedudukan lebih rumit kerana hak pemilik tanah dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang.
Kenapa kuil Hindu lebih sering jadi sorotan?
Tanggapan bahawa hanya kuil Hindu menjadi sasaran tidak sepenuhnya tepat.Semua rumah ibadat bukan Islam tertakluk kepada undang-undang yang sama.
Namun, faktor sejarah, lokasi dan sensitiviti identiti menjadikan isu kuil Hindu lebih menonjol dalam ruang awam.
Berbeza dengan tokong atau wat yang kebanyakannya dibina di kawasan dengan status tanah lebih jelas, banyak kuil Hindu berasal dari estet atau tanah yang kemudian berubah status.
Surau pun nak kena roboh juga?
Kes perobohan atau pemindahan juga melibatkan masjid dan surau.
Bezanya, proses biasanya dikendalikan melalui saluran rasmi agama dan mengikut prosedur ketat.
Dalam Islam, konsep Istibdal membolehkan penggantian tapak dengan nilai setara atau lebih baik.
Kes seperti Surau Al-Karamah di Perak menunjukkan bahawa status tanah tetap menjadi faktor penentu, walaupun struktur telah lama wujud.
Apa pendekatan kerajaan Madani?
Kerajaan kini cenderung kepada rundingan dan pemutihan berbanding perobohan drastik.
Rumah ibadat lama di atas tanah kerajaan akan cuba diwartakan jika tidak mengganggu kepentingan awam.Dalam masa sama, bantuan disalurkan bagi memudahkan proses dokumentasi dan pemindahan.
Namun, sebahagian pemimpin masyarakat India berpendapat usaha ini masih belum mencukupi.

Adakah harapan pada masa depan?
Beberapa langkah dicadangkan bagi meredakan polemik ini:
Mengenal pasti kuil bersejarah untuk diwartakan sebagai tapak warisan
Menubuhkan tabung amanah bagi pembelian tanah
Menyeragamkan SOP PBT
Memperkukuh peranan NGO dalam membantu pendaftaran dan pematuhan undang-undang
Isu “kuil haram” akhirnya bukan sekadar soal undang-undang atau agama semata-mata.
Ia wacana sejarah dan warisan, pembangunan identiti dan politik — yang masih menuntut penyelesaian seimbang antara keadilan undang-undang dan sensitiviti hubungan kemasyarakatan.
