Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Danish Hairudin mempersoalkan konsistensi dan kredibiliti dakwaan yang melibatkan individu dalam skandal mafia korporat, dengan menyifatkan terdapat percanggahan logik yang ketara dalam naratif yang dibawa.
Danish merujuk kepada perubahan nada pihak tertentu yang pada mulanya mempertahankan Victor Chin sebagai "kambing hitam", namun kemudiannya dilihat menerima tuduhan terhadap individu tersebut sebagai benar tanpa persoalan.
"Di sini timbul percanggahan logik yang jelas. Jika benar Victor Chin hanyalah 'kambing hitam', maka beliau adalah mangsa.
"Tetapi mengapa wujud dakwaan bahawa beliau perlu 'kawtim' atau memberi rasuah untuk menyelesaikan kes? Jika tidak bersalah, mengapa perlu ada unsur sebegitu? Ini menuntut penjelasan yang telus, bukan sekadar andaian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bulan lalu, Bloomberg menamakan Chin sebagai sebahagian daripada rangkaian ahli perniagaan yang didakwa berpakat dengan SPRM untuk melakukan pengambilalihan korporat terhadap pesaing.
Selasa lalu, dalam satu dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi peristiwa berkaitan dakwaan masalahnya dengan "mafia korporat", Chin berkata seorang anggota parlimen PKR meminta dia menyediakan tunai RM10 juta bagi menyelesaikan masalah ahli perniagaan itu.
Mendakwa dia membayar RM9.5 juta daripada jumlah itu kepada anggota parlimen kerajaan berkenaan pada 18 Oktober tahun lalu, Chin turut mengugut untuk mendedahkan identiti anggota parlimen terbabit jika gagal memulangkan wang tersebut menjelang 30 Mac.
Dia menambah bahawa anggota parlimen itu, yang tidak dinamakan dalam dokumen tersebut, gagal memberikan sebarang penyelesaian yang dijanjikan.

Chin juga dilihat membezakan antara anggota parlimen PKR yang tidak dikenali itu dengan seorang individu bernama "Mr R", di mana ahli perniagaan itu berkata individu terbabit bertindak sebagai orang tengah yang bekerjasama rapat dengan "mafia korporat".
Mengulas lanjut, Danish turut melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan pihak tertentu menerima dakwaan serius tanpa melalui proses pembuktian yang sah mengikut lunas undang-undang.
Menurut Danish, tindakan tokoh politik yang dilihat terlalu cepat mempercayai kenyataan daripada individu yang sedang disiasat memperlihatkan sikap prejudis dan boleh mengelirukan rakyat.
Tegasnya, kematangan kepimpinan menuntut sikap berhati-hati dan bukannya tergesa-gesa mengesahkan sesuatu perkara yang belum terbukti kesahihannya.
"Akhirnya, apa yang rakyat perlukan bukan naratif yang berubah-ubah, tetapi ketelusan dan fakta yang sahih. Biarlah siasatan dijalankan secara bebas dan adil.
"Justeru, hentikan spekulasi. Kembalikan kepercayaan kepada proses. Biarlah kebenaran ditentukan melalui siasatan yang bebas dan berintegriti dan bukan melalui naratif yang berubah-ubah," tambahnya.
Kontroversi itu bertambah hangat apabila Menteri Sumber Manusia R Ramanan menafikan dirinya terlibat skandal rasuah yang dikaitkan dengan "mafia korporat" itu sekali gus menafikan dirinya adalah "Mr R" yang dimaksud ahli Chin.

Pada sidang medianya, semalam, Ramanan turut menyerang bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli yang didakwanya mempunyai agenda tersembunyi terhadap dirinya.
Ahli parlimen Pandan itu kemudian tampil melalui video ringkas yang disiarkan di YouTube malam tadi dan berkata, dia percaya Chin mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada seorang ahli parlimen PKR.
Katanya, Chin mungkin telah merakam perbualan dia dengan ahli parlimen terbabit.
"Apabila orang yang dipercayai oleh ahli parlimen PKR itu mengutip wang tersebut bagi pihaknya, ada kemungkinan terdapat bukti dalam bentuk gambar atau rakaman video.
"Jika tidak, Chin tidak akan berani mengeluarkan ultimatum (kata dua) sedemikian," kata Rafizi.
