Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi yakin Chin ada bukti pembabitan Ahli Parlimen PKR
Diterbitkan:  Mar 26, 2026 11:41 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Rafizi Ramli percaya ahli perniagaan Victor Chin mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada seorang ahli parlimen PKR.

Dalam video ringkas yang disiarkan di YouTube malam tadi, Ahli Parlimen Pandan itu memberi gambaran yang Chin mungkin telah merakam perbualan dia dengan ahli parlimen terbabit.

Kerana itu, katanya, ahli perniagaan terbabit boleh memberi kata dua dan tempoh sehingga 30 Mac untuk ahli parlimen berkenaan memulangkan wang itu atau namanya akan didedahkan.

"Apabila orang yang dipercayai oleh ahli parlimen PKR itu mengutip wang tersebut bagi pihaknya, ada kemungkinan terdapat bukti dalam bentuk gambar atau rakaman video.

"Jika tidak, Chin tidak akan berani mengeluarkan ultimatum (kata dua) sedemikian," kata Rafizi.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu juga memberikan dua kemungkinan apabila tempoh yang diberikan oleh Chin berakhir beberapa hari lagi.

Ketika itu, kata Rafizi, Chin mungkin menamakan ahli parlimen tersebut pada 30 Mac, atau ia menjadi penantian yang sia-sia apabila wang yang dituntut itu sudah dikembalikan.

Rafizi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan salah seorang Naib Presiden PKR, R Ramanan, yang menafikan bahawa dia adalah ahli parlimen yang disebut oleh Chin.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh itu juga mendakwa dia tidak pernah bertemu dengan ahli perniagaan yang menjadi tumpuan skandal "mafia korporat" ketika ini.

Sementara itu, Rafizi juga berjanji untuk mendedahkan identiti "Mr R" yang disebut oleh Chin yang didakwa bertindak sebagai orang tengah bagi pihak mafia korporat.

Rafizi juga menegaskan bahawa orang ramai keliru apabila ramai yang menganggap bahawa "Mr R" dan ahli parlimen PKR yang didakwa menerima duit daripada Chin adalah orang yang sama.

Sedangkan, katanya, ia melibatkan dua individu yang berbeza.

Pada Selasa, Chin mendakwa seorang pengarah syarikat bertindak sebagai orang tengah bagi kumpulan mafia korporat itu.

Kata Chin, dia bersama rakan-rakannya menghadapi ancaman dan intimidasi, bersama-sama dengan tuntutan berulang untuk "menyerahkan saham" syarikat yang dimilikinya berikutan arahan daripada Mr R dan mafia korporat.

Chin berkata dia kerap berhubung dengan Mr R sementara Lembaga Pengarah NexG Bhd didakwa ditekan oleh kumpulan terbabit untuk melantik pengarah yang dicalonkan mereka.

Selain itu ahli perniagaan terbabit juga mendakwa bahawa ahli parlimen dari PKR berkenaan meminta RM10 juta daripadanya – dengan RM9.5 juta dilaporkan dibayar – untuk menyelesaikan isu mafia korporat

Mengulas sidang media dibuat Ramanan semalam, Rafizi berpendapat bekas Bendahari Agung MIC tersebut menggunakan lebih banyak masa menyerangnya berbanding menjawab dakwaan yang dibangkitkan Chin.

"Sidang media itu berlangsung kira-kira 25 minit, 10 minit adalah mengenai Chin, dan selebihnya adalah mengenai Ramanan yang mempersendakan saya," katanya.

Dalam sidang media itu Ramanan menuduh Rafizi menyokong dakwaan yang mengaitkan dia dengan pembayaran RM9.5 juta dengan menggunakan laskar siber untuk menyebarkan dakwaan tersebut.

Dia mendakwa bahawa Rafizi memainkan naratif yang bertujuan untuk memecah-belahkan PKR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS