Kerajaan akan meneliti cadangan untuk merangka garis panduan khusus termasuk mekanisme bagi mengelakkan kenyataan menyentuh isu kaum, agama, institusi diraja (3R) dalam kalangan Ahli Parlimen ketika berbahas di Dewan Rakyat.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara R Yuneswaran berkata cadangan berkenaan akan dikemukakan dalam satu pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul dalam masa terdekat.
“Walaupun Ahli Parlimen mempunyai imuniti dalam Dewan Rakyat, setiap wakil rakyat perlu bertanggungjawab dalam memastikan kenyataan dikeluarkan tidak mencetuskan kemarahan atau ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Jika tindakan mungkin tidak boleh diambil dalam Dewan Rakyat, ia tidak bermakna kita boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja,” katanya semasa Pelancaran Malaysian Racism Report 2025 oleh Pusat Komas di sini hari ini.
Beliau berkata semua pihak termasuk ahli politik sepatutnya memberikan tumpuan kepada agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Dalam perkembangan lain, Yuneswaran berkata beliau menyokong cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional.
Beliau berkata perkara itu kini di peringkat awal perbincangan dan memerlukan sokongan Pejabat Perdana Menteri sebagai langkah proaktif memperkukuh perpaduan negara.
“Sebenarnya, di kementerian ini, kita juga sedang dalam perbincangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian. Bukan itu sahaja, kita juga mahu memperkenalkan Akta Harmoni, tapi ia juga masih dalam perbincangan di peringkat awal,” katanya.
-Bernama
