Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seramai 7,099 pelajar tak hadir SPM 2025 atas pelbagai alasan
Diterbitkan:  Mar 31, 2026 3:11 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

Seramai 7,099 daripada 413,299 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2025 tidak hadir menduduki peperiksaan itu dengan pelbagai faktor sebagai punca ketidakhadiran, kata Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad.

Katanya antara punca paling lazim diberikan ialah bekerja, berpindah ke luar negara, kemalangan, masalah keluarga, isu kesihatan, kekangan pengangkutan, meninggal dunia dan ditahan pihak berkuasa.

"Banyak faktor, jadi kita (KPM) sebenarnya tahu murid-murid daftar SPM ini bermula awal tahun. SPM akan berlaku pada bulan 11 (Nov).

“Jadi dalam jarak masa yang panjang, pelbagai faktor boleh berlaku," katanya pada sidang media pengumunan keputusan SPM 2025 di Putrajaya hari ini.

Mohd Azam berkata angka tersebut menunjukkan perkembangan positif kerana menurun kepada 1.79 peratus berbanding 2.1 peratus atau 8,108 calon pada SPM 2024.

"Hal ini membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif dan intervensi yang dilaksanakan KPM dan pelbagai pihak berkepentingan. Perkara ini akan terus ditangani dengan bijaksana," katanya.

Mengulas penurunan bilangan calon memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- dalam SPM terkini kepada 13,779 calon berbanding 13,827 pada 2024, Mohd Azam berkata ia bukan sesuatu yang membimbangkan kerana terdapat peningkatan dalam bilangan calon yang memperoleh gred A+.

“Calon SPM 2025 melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang panjang dan berkesinambungan, iaitu bermula prasekolah, sekolah rendah selama enam tahun dan sekolah menengah selama lima tahun,” katanya.

Bagaimanapun, dia berkata, KPM akan meneliti faktor yang menyumbang kepada perubahan tersebut sebelum mengambil tindakan susulan bersama jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan sekolah.

Mengulas pencapaian calon SPM 2025 yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak awal persekolahan menengah, Mohd Azam berkata, prestasi membanggakan pada peperiksaan itu mencerminkan daya tahan tinggi pelajar.

"Proses PdP (pengajaran dan pembelajaran) yang dilalui selama 11 atau 12 tahun penuh dengan cabaran. Berkat nyala rasa guru yang tidak pernah jemu untuk mencanai pelbagai intervensi demi intervensi bagi membangunkan potensi anak murid, akhirnya murid diasuh dan dididik dalam bilik darjah gagah melangkah dengan daya ketahanan diri tinggi sehingga mampu menduduki peperiksaan SPM 2025," katanya.

Tambah Mohd Azam, pelbagai intervensi dan penyelarasan dasar dilaksanakan secara berterusan melibatkan KPM, JPN, PPD dan sekolah bagi memastikan proses PdP kekal berkualiti.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS