Seorang Pembantu Hal Ehwal Islam dari Pejabat Agama Daerah Kluang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini atas empat pertuduhan rasuah membabitkan wang RM3,750.

Di hadapan Hakim Indra Nehru Savandiah, Norazali, 38, dari Unit Ukhuwah pejabat berkenaan tidak mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersetuju menerima satu suapan RM300 dari Iskandar Johari Abdullah supaya tidak dikenakan tindakan kerana kesalahan khalwat di hadapan Bank Islam, Jalan Datuk Tan Seng Leong, Kluang pada jam 11 pagi 13 Ogos 2004.

Dia juga tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan kedua, menerima RM650 dari Iskandar Johari di hadapan Restoran Ah Muk di Jalan 1, Taman Sri Kluang, Kluang, pada jam 12.30 tengah hari 16 Ogos 2004 manakala bagi tuduhan ketiga, dia didakwa menerima suapan RM300 dan cek tunai bernilai RM1,000 juga dari Iskandar Johari di Jalan Tembikai, Kluang, pada 5 petang hari yang sama.

Dia dibenarkan diikatjamin sebanyak RM12,000 sehingga menunggu perbicaraan pada 1 dan 2 April nanti, demikian menurut laporan Bernama.

Manakala di hadapan Hakim Abu Bakar Katar pula, Norazli didakwa menerima RM1,500 daripada Iskandar Johari di Kedai Makan Khalid, No 4, Jalan Hang Tuah 4/2, Taman Muhibbah, Kluang, pada 12.10 tengah hari 30 Ogos 2004, sebagai suapan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya berhubung kes khalwat.

Abu Bakar membenarkan ikatjamin RM4,000 sementara menunggu perbicaraan juga pada 1 dan 2 April depan di hadapan hakim Indra.

Dalam kes lain, di hadapan hakim Indra, seorang pegawai polis Inspektor Mohd Noor Zakaria mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah.

Ikatjamin RM7,000

Mohd Noor, 38, dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, didakwa meminta suapan RM10,000 daripada Phan Chak Poh bagi melepaskan lelaki itu dan rakannya, Ng Kok Yong, daripada tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, pada 2.30 petang 9 Disember 2005.

Bagi tuduhan kedua pula, dia didakwa menerima suapan RM7,000 dari Phan di Bistari Bistro di Plaza BCB, Kluang, pada 8.30 malam 15 Disember 2005 bagi melepaskan Phan dan Ng daripada tahanan polis.

Mohd Noor dibenarkan diikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan sementara menunggu perbicaraan pada 25 dan 26 Februari.

Di mahkamah yang sama, peniaga Goh How Keong, 35, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu meminta suapan RM500 daripada Ong Tee Long dan Chen Pang Yee bagi membantu kedua-dua lelaki itu mendapatkan balik kad pengenalan mereka daripada polis, dan menerima suapan RM600 dari Ong kononnya untuk Sarjan Mejar Sakirin Mahamood dari Balai Polis Paloh untuk memulangkan kad pengenalan Ong dan Chen.

Goh didakwa melakukan kesalahan itu masing-masingnya di Pejabat BPR Kluang pada jam 11.55 pagi 9 September 2006 dan di Kedai TG Telecommunications & Service Centre, Jalan 20, Taman Kota Paloh, Kluang, pada 12.30 tengah hari 10 September 2006.

Hakim Indra menetapkan ikat jamin RM4,000 serta seorang penjamin bagi setiap tuduhan terhadap Goh sementara menunggu perbicaraan pada 17 dan 18 Mac.