Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak puas hati penugasan punca 7 anggota tentera dipukul

Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan insiden pukul membabitkan tujuh anggotanya di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong, Isnin lepas, berpunca daripada rasa tidak berpuas hati suspek terhadap penugasan yang diarahkan.

Menerusi kenyataan hari ini, TDM memaklumkan suspek yang merupakan seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) telah menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk muka serta perut semua anggota terlibat.

Akibat daripada insiden itu, seorang anggota iaitu Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi telah tidak sedarkan diri dan diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera 25 RAMD sebelum dipindahkan ke Hospital Bentong dan kini menerima rawatan rapi menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

"Dalam insiden yang sama, seramai enam anggota lain disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kesemuanya telah dibawa ke Hospital Bentong oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas keterangan mereka diambil," menurut kenyataan itu.

TDM menegaskan pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan suspek telah ditahan polis bagi membantu siasatan, selain TDM sendiri menubuhkan Lembaga Siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.

"Tindakan tegas yang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dan TDM sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang menyalahi undang-undang dan peraturan sedia ada," menurut kenyataan itu.

TDM memohon agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, serta demi menghormati privasi mangsa dan ahli keluarganya dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Semalam, media melaporkan polis menahan seorang tentera berpangkat koperal bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul tujuh anggota lain termasuk menyebabkan seorang daripada mereka cedera parah di kem berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada bapa mangsa yang berusia 49 tahun dan menahan suspek berusia 37 tahun kira-kira 2.30 petang 31 Mac lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS