mk-logo
Berita
Khutbah Jumaat tegur pemandu cuai, mabuk, bawah pengaruh dadah
Diterbitkan:  Apr 3, 2026 2:02 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Khutbah Jumaat hari ini memberi tumpuan khusus terhadap isu keselamatan jalan raya, dengan seruan tegas agar pengguna mematuhi undang-undang serta memikul tanggungjawab moral ketika memandu.

Penegasan itu susulan insiden langgar maut di Klang yang mengorbankan seorang penunggang motosikal, dipercayai akibat pemanduan di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Dalam khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk “Pandu Hemat, Nyawa Selamat”, umat Islam diingatkan supaya tidak memandang ringan soal keselamatan jalan raya, selain menjauhi tingkah laku berisiko tinggi yang boleh meragut nyawa sendiri dan orang lain.

Mimbar Jumaat menegaskan perbuatan seperti memandu laju, melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta memandu dalam keadaan tidak waras bukan sekadar kesalahan undang-undang, malah bertentangan dengan prinsip pemeliharaan nyawa dalam Islam.

“Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, bahkan bercanggah dengan prinsip hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa) serta kaedah fiqh yang menegaskan larangan memudaratkan diri dan orang lain.

“Inilah punca berlakunya tragedi apabila satu kelalaian bertemu dengan satu kecuaian, lalu meragut nyawa yang tidak berdosa.

“Justeru, pandulah dengan penuh tanggungjawab, kerana keselamatan di jalan raya adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT,” katanya.

Mimbar turut mengingatkan jemaah melalui Surah al-Baqarah ayat 195, yang melarang manusia mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Dalam kerangka itu, menjaga keselamatan diri dan orang lain dilihat sebagai tuntutan syarak manakala kecuaian yang mengancam nyawa tergolong dalam perbuatan dilarang.

Khutbah juga menyentuh kepentingan menjaga akal sebagai salah satu maqasid syariah. Pengaruh bahan memabukkan seperti arak, kata mimbar boleh merosakkan pertimbangan, seterusnya mendorong pemanduan berbahaya.

Dalam nada yang lebih menyentuh emosi, khatib mengajak jemaah merenung akibat nahas jalan raya.

“Ada yang menunggu dengan penuh harapan, tetapi yang tiba hanyalah khabar duka. Lebih menyedihkan, ada yang menjadi mangsa bukan kerana kesilapan dirinya, tetapi kerana kecuaian orang lain yang gagal memelihara akal dan amanah keselamatan," katanya.

Khutbah turut menekankan kepatuhan kepada undang-undang jalan raya sebagai sebahagian daripada ketaatan kepada Allah SWT, selari dengan perintah dalam Surah an-Nisa ayat 59. hukuman.

Pada 1 April, seorang pembantu makmal yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Klang atas pertuduhan membunuh seorang penunggang motosikal.

R Saktygaanapathy, 28, didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat di Klang pada 11.47 pagi, 29 Mac lepas.

Sebelum ini, tular video nahas yang meragut nyawa Hafiz sehingga mencetuskan kecaman terhadap pemanduan mabuk dan simpati kepada keluarga allahyarham.

Antaranya, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh yang menegaskan kes pemandu mabuk tidak wajar lagi dianggap kesalahan biasa kerana melibatkan kehilangan nyawa.

Akmal menuntut kerajaan memperkenalkan skim khairat kematian berpusat serta pampasan mandatori bagi keluarga mangsa kemalangan melibatkan pemandu mabuk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan pula berkata hak waris mangsa nahas itu tidak boleh diabaikan dan pendekatan diyat perlu diberi perhatian bagi memastikan keadilan serta perlindungan sewajarnya kepada keluarga waris.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Allahyarham Amirul dan menyifatkan kehilangannya amat menyayat hati.

Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain daripada hukuman penjara yang dikenakan.

Langkah itu, menurutnya selaras dengan pendirian kerajaan yang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Dalam perkembangan berkaitan, khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini mengangkat isu berasingan tetapi berkait isu keselamatan jalan raya, iaitu gejala “merempit” dalam kalangan remaja. Dalam khutbah bertajuk “Merempit: Kepuasan atau Kematian”, khatib mengingatkan bahawa nyawa bukan milik mutlak manusia untuk dipermainkan.

“Setiap perbuatan yang boleh mengancam nyawa sendiri atau orang lain bukan sahaja salah di sisi undang-undang, tetapi juga melanggar prinsip asas Islam,” kata khatib.

Fenomena merempit digambarkan bukan lagi sekadar isu sosial, sebaliknya ancaman serius terhadap keselamatan awam. Ia turut dikaitkan dengan aktiviti pertaruhan yang jelas termasuk dalam kategori perjudian, sebagaimana ditegah dalam Surah al-Maidah ayat 90.

“Gejala merempit bertentangan dengan prinsip menjaga nyawa (Hifz al-Nafs) dan harta (Hifz al-Mal), kerana ia mempertaruhkan nyawa sendiri dan orang lain,” katanya.

Khutbah berakhir dengan seruan kepada ibu bapa dan masyarakat supaya memainkan peranan lebih aktif dalam membimbing anak muda, selain menyediakan alternatif sihat seperti sukan, program masjid dan aktiviti komuniti.

“Setiap detik kehidupan adalah amanah dari Allah SWT dan akan dipersoalkan di hadapan-Nya.” tambahnya.

Setiap 1 jam 56 minit satu nyawa melayang

Untuk rekod, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada 21 Nov 2024 memberitahu parlimen sebanyak 149 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk didakwa menyebabkan kematian di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tempoh Januari 2021 hingga September 2024.

Analisis statistik kemalangan jalan raya menunjukkan faktor manusia masih kekal sebagai penyumbang utama kepada kes kemalangan maut, menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Data rasmi polis pada 2023 menunjukkan 12,417 kes kemalangan maut dengan kira-kira 6,000 kematian daripada 598,635 jumlah kes kemalangan keseluruhan.

Seseorang kehilangan nyawa dalam kemalangan jalan raya di Malaysia setiap 1 jam 56 minit, menurut laporan The Straits Time memetik statistik rasmi kerajaan dari 14 Mac 2024 hingga 18 Mac 2025.

Ini bermakna, satu kemalangan jalan raya berlaku kira-kira setiap 50 saat.

Sepanjang tempoh setahun itu, Malaysia merekodkan purata 1,729 kemalangan jalan raya setiap hari, dengan 14 kematian harian.

Kadar kematian keseluruhan akibat kemalangan jalan raya berada pada 0.8 kematian bagi setiap 100 kemalangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS