Seorang pembantu makmal yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Klang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penunggang motosikal, pada Ahad lepas.
R Saktygaanapathy, 28, didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat di Klang pada 11.47 pagi, 29 Mac lepas.
Pertuduhan terhadap lelaki terbabit dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak lebih 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Khartiyayini kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan lain di mahkamah sama, Saktygaanathy mengaku bersalah memberikan diri sendiri dadah dipercayai jenis Benzo dan THC ke dalam badannya di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada 3.30 petang, 29 Mac lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan juga boleh dihukum perintah pengawasan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin tidak menawarkan ikat jamin bagi kes tersebut kerana tertuduh turut berdepan dengan kes bunuh.
Saktygaanathy tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Jun depan bagi sebutan semula kesemua kes serta penyediaan laporan patologi.
Terdahulu, tertuduh yang memakai baju-T berkolar berwarna putih dan berseluar pendek kelabu tiba di pekarangan Mahkamah Klang pada 8.50 pagi dengan kawalan ketat anggota polis.
Isteri Allahyarham Amirul Hafiz iaitu Nor Nadia Abdul Majid, 32, turut dilihat hadir ke mahkamah bagi mengikuti prosiding pendakwaan hari ini.
Ahad lepas, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey memaklumkan seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam nahas di Jalan Raya Barat.
Beliau berkata insiden kira-kira 11.40 pagi itu mengakibatkan mangsa, Amirul Hafiz tercampak ke atas bumbung kereta lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya siasatan awal mendapati kereta Honda City dipandu suspek menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya serta dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran yang tular di media sosial itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia.
- Bernama
