Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Putrajaya untuk menangguhkan pelaksanaan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil Persekutuan sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Panel hari ini yang dipengerusikan Hakim Zaini Mazlan mendapati kerajaan akan terjejas sekiranya penangguhan tidak diberikan kerana terdapat risiko sebenar kegagalan mematuhi tempoh masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Tinggi, dalam keputusannya pada 17 Okt tahun lalu, mengarahkan kerajaan Persekutuan untuk menjalankan semakan bersama kerajaan negeri Sabah dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari dari tarikh penghakiman.
Tempoh 90 hari itu telah berakhir pada 14 Jan, manakala tempoh 180 hari akan tamat tidak lama lagi pada 15 April.
Zaini turut menegaskan bahawa rayuan kerajaan terhadap sebahagian keputusan itu masih belum didengar, dan penguatkuasaan pematuhan dalam keadaan tersebut akan menafikan peluang Putrajaya untuk mengemukakan cabaran mereka.
“Jelas bahawa pemohon (kerajaan) berada dalam kekangan masa.
“Pemohon berhujah bahawa semakan itu akan melibatkan penilaian menyeluruh terhadap kedudukan kewangan mereka serta hasil bersih responden kedua (kerajaan negeri Sabah) bagi tempoh dari 1974 hingga 2021.
“Ini memerlukan pengenalpastian, pengesahan dan penyelarasan data kewangan, dokumen dalam jumlah besar, serta rekod sejarah yang merangkumi 47 tahun, dari 1974 hingga 2021.
“Pada pandangan kami, pemohon akan terjejas sekiranya penangguhan tidak diberikan kerana terdapat risiko sebenar kegagalan mematuhi tempoh masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi, yang berdasarkan skop dan kerumitan tugas itu, dilihat membebankan,” kata Zaini ketika membacakan keputusan panel pagi ini.
Panel itu turut mendapati perintah Mahkamah Tinggi tidak selaras dengan peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa sekiranya berlaku pertikaian, perkara tersebut perlu dirujuk kepada penilai bebas.
Keadaan itu jelas akan menjejaskan kerajaan sekiranya dipaksa mematuhi perintah Mahkamah Tinggi tanpa peluang mengemukakan kes mereka di peringkat rayuan, tambah Zaini.
Panel itu juga menyatakan bahawa perintah Mahkamah Tinggi bukan sahaja mengarahkan rundingan, tetapi turut mewajibkan kerajaan membuat pembayaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah.
“Ini boleh membawa implikasi kewangan yang serius, terutama dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini.
“Di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, sebarang semakan mesti mengambil kira kedudukan kewangan pemohon berhubung dengan keperluan responden kedua.
“Tempoh masa yang dikenakan mungkin tidak memberi peluang mencukupi kepada pihak-pihak untuk menentukan jumlah kuantum sebenar yang perlu dibayar.
“Jumlah bayaran yang diarahkan adalah sangat besar sehingga pelaksanaannya sebelum rayuan diputuskan akan mewujudkan keadaan fait accompli.
“Oleh itu, kami berpuas hati bahawa keadaan khas telah dibuktikan. Pemohon akan terjejas sekiranya penangguhan ditolak, dan rayuan mungkin menjadi tidak bermakna,” kata Zaini ketika membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan oleh kerajaan.
Turut bersidang bersama Zaini hari ini ialah Ismail Ibrahim dan Muniandy Kannyappan.
Peguam Kanan Persekutuan Hanir Hambaly mewakili kerajaan Persekutuan dalam prosiding hari ini, manakala David Fung dan Jeyan Marimuttu mewakili responden pertama, Sabah Law Society (SLS).
Kerajaan negeri Sabah diwakili Peguam Besarnya, Brenndon Keith Soh.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pada 17 Okt tahun lalu, memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan apabila gagal menunaikan bahagian 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah selama hampir lima dekad.
Mahkamah kemudian mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Putrajaya menjalankan semakan baru hasil bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan dan mencapai persetujuan mengenai hak 40 peratus negeri itu bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021, dengan semakan bermula dalam tempoh 90 hari dan diselesaikan dalam tempoh 180 hari.
Jabatan Peguam Negara (AGC), sebagai maklum balas menyatakan mereka tidak akan merayu berhubung hak 40 peratus tersebut selaras dengan prinsip perlembagaan “Pemberian Khas” di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, rayuan yang difailkan itu terhadap kenyataan hakim Mahkamah Tinggi yang menyatakan bahawa Putrajaya dan kerajaan negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar tanggungjawab perlembagaan mereka.
