Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mafia korporat: Chin fail saman ke atas pengasas Bestinet
Diterbitkan:  Apr 7, 2026 9:15 PM
Dikemaskini: 1:15 PM

Ahli perniagaan Victor Chin mengumumkan dia akan menyaman pengasas syarikat Bestinet Sdn Bhd (Bestinet), Aminul Islam Abdul Nor, atas dakwaan berkaitan kontroversi 'mafia korporat'.

Semakan pada sistem e-filing mahkamah menunjukkan kes tersebut dijadualkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Mei ini.

Malaysiakini telah menghubungi Aminul Islam untuk mendapatkan komen dan tidak memberikan butiran dakwaan tersebut sementara menunggu maklum balas.

Sementara itu, Chin menyatakan keyakinan bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk menunjukkan dia bukan sebahagian daripada rangkaian mafia korporat yang didakwa, dan menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dan membersihkan namanya.

“Dakwaan yang dibuat terhadap saya adalah percubaan sengaja untuk mengelirukan pihak berkuasa dan orang ramai untuk menggambarkan saya sebagai kambing hitam sedangkan saya sebenarnya juga seorang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chin menambah dia terikat secara profesional dengan piawaian kerahsiaan yang ketat dan tidak dapat mendedahkan maklumat pelanggan dan perkara dalaman, walaupun pelbagai dakwaan telah diedarkan.

Bagaimanapun, Chin berkata dia akan mendedahkan semua maklumat berkaitan jika dikehendaki berbuat demikian di bawah "rangka kerja perundangan yang betul", termasuk suruhanjaya siasatan diraja.

"Hanya melalui proses formal sedemikian, saya dapat, dan wajib, berkongsi secara penuh dan terperinci apa yang saya tahu," katanya.

Kenyataan Chin hari ini adalah yang pertama sejak berakhirnya tarikh akhir 30 Mac yang diberikan ahli perniagaan terbabit kepada seorang ahli parlimen PKR memulangkan RM9.5 juta yang didakwa diambil sebagai yuran perkhidmatan bagi menghentikan serangan daripada "mafia korporat".

Dia sebelum ini pernah mengugut untuk mendedahkan identiti ahli parlimen itu jika pembayaran tidak dibuat pada 30 Mac.

Namun kenyataan terbaru yang dikeluarkan itu tidak membincangkan isu tersebut, termasuk sama ada sebarang wang telah dipulangkan atau sebaliknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS