Seorang pemimpin Pemuda PAS hari ini menegaskan, orang ramai sudah faham mengapa Abdul Hadi Awang “bersuara keras” semasa mengulas harga bahan bakar di dalam negara semalam.
Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi, berkata apa yang dinyatakan presiden parti itu bukanlan sekadar isu politik.
Sebaliknya, dakwa Fakhruddin, ia merupakan suara kemarahan rakyat yang melihat harga diesel melambung tinggi di Semenanjung Malaysia manakala ia kekal rendah di Sabah dan Sarawak.
“Hari ini rakyat makin faham kenapa Presiden PAS bersuara keras tentang isu diesel dan harga minyak.
“Apa yang disebut oleh Presiden PAS bukan sekadar politik. Ia suara marah rakyat yang makin sesak nafas melihat harga diesel di Semenanjung melambung tinggi, sedangkan di Sabah dan Sarawak masih jauh lebih rendah.
“Kalau alasan kerajaan ialah perang, Selat Hormuz dan harga pasaran dunia, kenapa rakyat Borneo tidak dibebankan seperti rakyat Semenanjung?
“Kenapa rakyat Semenanjung sahaja yang dipaksa menanggung semuanya?” kata Fakhruddin.
Dia yang juga Adun Sura di Terengganu berkata demikian melalui hantaran di media sosial.
Semalam Abdul Hadi mempertikaikan kerajaan kerana menaikkan harga diesel ketika negara ini mempunyai telaga minyak sendiri, selain memiliki pelbagai sumber alam yang kaya.
Suara Hadi lebih dekat
Dia juga memberi cadangan untuk Malaysia mengadakan kerjasama dengan negara jiran bagi menangani tekanan harga bahan bakar – yang memang terkesan teruk di seluruh dunia susulan krisis di Asia Barat.
Dalam hantaran panjang lebar itu juga Abdul Hadi sempat menyindir Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kerana pernah berjanji – pada 2008 – untuk menurunkan harga petrol jika gabungan pembangkang yang diketuai ketika itu memenangi PRU ke-12.
Untuk rekod ketika itu PAS merupakan sebahagian daripada gabungan parti pembangkang yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat.
Pagi tadi Anwar menyelar “ulama terkenal” dan ada “ramai pengikut” kerana membuat ulasan dengan “kedangkalan ilmu yang ketara” serta mengelirukan mengenai konflik yang sedang dihadapi dunia.

Fakhruddin berkata persoalan yang dibangkitkan Abdul Hadi semalam memang gagal dijawab oleh Anwar dan kerajaan.
Katanya, Malaysia bukanlah sebuah negara miskin minyak kerana memiliki petroleum, gas, dan hasil bumi lain namun tidak dapat menikmati kekayaan negara sendiri.
Hal itu kerana, dakwa Fakhruddin, berlaku banyak ketirisan, salah urus dan pemimpinnya ramai yang sibuk menjanga angka laporan kewangan berbanding menjaga perut rakyat.
“Rakyat bukan marah kerana tidak faham ekonomi.
“Rakyat marah kerana mereka nampak double standard yang terlalu jelas. Sabah dan Sarawak boleh dapat harga diesel lebih rendah atas alasan kos hidup dan geografi, tetapi rakyat Semenanjung dibiarkan menanggung beban sendirian,” katanya.
Pada masa sama, dakwa Fakhruddin, pemimpin negara tidak mempertahankan rakyat ketika mereka berdepan kesulitan.
“Sebab itu suara Presiden PAS hari ini lebih dekat di hati rakyat berbanding PMX (Anwar) yang semakin hari semakin hilang rasa empati,” katanya.
