Barisan kepimpinan Umno Bahagian Permatang Pauh menafikan dakwaan kononnya mereka tidak sehaluan dan tidak boleh bekerjasama antara satu sama lain terutamanya menjelang pilihanraya umum ke-12.

Ketuanya Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata, cerita-cerita yang disebarkan melalui internet bahawa pemimpin di bahagian itu cuba menjatuhkan satu sama lain adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa perpaduan dan kerjasama yang terjalin di kalangan mereka kali ini tidak boleh digugat kerana mereka semua telah bersepakat untuk mencapai matlamat memenangi semula kerusi Parlimen Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada pilihanraya umum akan datang.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas meninjau persiapan bilik gerakan 42 cawangan Umno dalam DUN Seberang Jaya bagi menghadapi pilihanraya ke-12 malam tadi, beliau berkata, cerita yang disebarkan itu

bertujuan mewujudkan keresahan di kalangan pemimpin bahagian itu agar mereka hilang tumpuan untuk menghadapi pilihanraya, demikian menurut laporan Bernama.

"Ada pihak tertentu yang sengaja menimbulkan perkara ini supaya kami bergaduh. Saya nak bagi tahu, walau apa pun yang terjadi, kami akan tetap bersama," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti itu turut menyangkal cerita kononnya beliau begitu teruja untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat. dan mahu mencantas Adun Seberang Jaya, Datuk Ariff Shah Omar Shah, yang juga bekas Ketua Penerangan Umno bahagian itu.

Kenyataan beliau disokong Ariff, yang mengakui bahawa pemimpin-pemimpin bahagian itu telah lama mengenepikan perbezaan pendapat dengan menggemblengkan usaha ke arah memenangi semua kerusi yang dipertandingkan di kawasan Permatang Pauh.

"Saya amat gembira kami di Permatang Pauh semuanya sepakat. Tiada agenda lain dalam parti dan tiada juga agenda peribadi untuk bertanding menentang sesama sendiri di peringkat bahagian," katanya.

Kerusi Penanti, yang sebelum ini diwakili calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Rahman Kadir pada pilihanraya umum 1999, berjaya dimenangi semula menerusi Jalil pada 2004.

Bagaimanapun, kerusi DUN Permatang Pasir dan Parlimen Permatang Pauh, kekal masing-masing di tangan PAS dan PKR sejak dua penggal lalu menerusi calon mereka Hamdan Abdul Rahman dan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.