Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCMC buka kertas siasatan kes 'bekal diesel ke Filipina'
Diterbitkan:  Apr 18, 2026 9:10 AM
Dikemaskini: 1:10 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan bahan api diesel kepada Filipina.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihak berkuasa mengesahkan diesel berkenaan adalah milik syarikat perdagangan antarabangsa Vitol, dan bukan milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau kerajaan Malaysia seperti yang didakwa.

Menurut kenyataan itu, individu terbabit dipanggil untuk memberi keterangan semalam, manakala peranti komunikasi yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan disita bagi membantu siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan," menurut kenyataan itu.

MCMC menegaskan mereka memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan digital untuk menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan orang ramai.

"Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS