Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS perlu segera namakan ketua pembangkang - Muhyiddin

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menggesa PAS segera menamakan calon ketua pembangkang baru susulan peletakan jawatan oleh Hamzah Zainudin.

Muhyiddin berkata Bersatu akan menerima sesiapa sahaja yang dipilih oleh PAS untuk mengisi jawatan berkenaan.

"Siapa yang dicalonkan (PAS) kita (Bersatu) terima sahaja," katanya pada sidang media di Majlis Silaturrahmi Aidilfiri Gombak di Gombak hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali dan Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Menurut Muhyiddin, PN sudah memutuskan mengenai pelantikan ketua pembangkang pada mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu.

"Saya hadir, dipengerusikan oleh Datuk Seri (Ahmad) Samsuri (Moktar), memutuskan supaya jawatan itu pertama sudah dikosongkan dan kemudian hendaklah diisi.

"Telah dipersetujukan dalam mesyuarat MT PN ahli parlimen yang akan dicadangkan adalah dari kalangan MP PAS. Walaupun dia PAS, tapi dia PN.

"Bagaimana saya telah sebut dahulu, saya minta disegerakan. Bila PAS sudah memilih, nama akan diserahkan kepada Speaker (Parlimen)," katanya lagi.

Pada 3 April lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata nama ketua pembangkang belum diputuskan parti itu dengan membayangkan tempoh masih panjang sebelum Dewan Rakyat bersidang sekali lagi.

Hadi berkata PAS perlu mendengar semua pandangan parti komponen, selain pendapat pembangkang di Sabah dan Sarawak.

“Lantikan ketua pembangkang ini masih panjang tempohnya.

“Parlimen (bersidang semula) Jun akan datang. Panjang lagi dan kita (PAS) pun nak selesaikan urusan parti dan urusan PN dulu," katanya.

Jawatan ketua pembangkang di Dewan Rakyat disandang Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin sejak Dis 2022 iaitu selepas PH dan BN menjalin kerjasama sekali gus membentuk kerajaan pusat.

Hamzah ketika itu menjadi setiausaha agung Bersatu dan PN sebelum dipilih sebagai timbalan presiden Bersatu awal Okt 2024.

Bagaimanapun krisis dalaman Bersatu menyaksikan Hamzah dipecat serta-merta oleh partinya 13 Feb lalu.

Ia menjadikan bekas menteri itu kini sebagai ahli parlimen tanpa parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS