Para pembesar wilayah di Negeri Sembilan menggesa upacara pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pagi ini ditangguhkan sehingga seorang Yang di-Pertuan Besar baru dilantik secara sah.
Dalam kenyataan bersama, empat Datuk Undang Yang Empat, bersama Tunku Besar Tampin, merujuk kepada keputusan mereka minggu lalu untuk “memecat” Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mereka mendakwa Menteri Besar Aminuddin Harun tiada pilihan selain mematuhi kuasa mereka yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
"Kuasa yang diperuntukan kepada Kami ini adalah dilindungi di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 79 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

"Maka Kami bersabda untuk YAB Menteri Besar Negeri Sembilan akur dan patuh dan tidak bertindak melangkaui bidang kuasa yang termaktub," menurut kenyataan yang dikeluarkan sejurus sebelum tengah malam tadi.
Para undang turut memaklumkan mereka tidak akan menghadiri upacara pembukaan DUN hari ini — satu tindakan yang menyimpang daripada tradisi, apabila kelima-lima mereka bersama Yang di-Pertuan Besar biasanya hadir pada sidang pertama legislatif setiap tahun.
Undang Sungai Ujong, Mubarak Thahak, bagaimanapun tidak dijemput ke majlis tersebut kerana dianggap turut telah dipecat.
BACA BERKAITAN: 'Tindakan Undang turunkan Yang di-Pertuan Besar sah tapi perlu selesai dengan lunak'

Empat undang bagi luak Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau mempunyai kuasa untuk memilih dan melucutkan pemerintah negeri — Yang di-Pertuan Besar atau Yamtuan Besar. Sementara itu, Tunku Besar Tampin ialah ketua adat bagi kawasan tersebut.
Pada Ahad, Undang Yang Empat mengadakan mesyuarat sebelum membuat dua pengisytiharan — melucutkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, serta melantik Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah seterusnya berkuat kuasa serta-merta.
Langkah itu dibuat sebagai maklum balas terhadap laporan bahawa Dewan Keadilan dan Undang-Undang (DKU) Negeri Sembilan, yang dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz memutuskan untuk menerima keputusan pembesar Sungai Ujong yang dipertikaikan untuk memecat Mubarak
Keputusan itu bagaimanapun dipertikaikan, dengan tiga undang lain serta Tunku Besar Tampin dilaporkan tidak bersetuju dengan keputusan majlis berkenaan.

Aminuddin sebelum ini menggunakan pemecatan Mubarak sebagai asas untuk mendakwa pengisytiharan para undang adalah tidak sah.
Sebagai reaksi, para undang menuduh menteri besar itu berbohong dan menggesa ahli DUN menyingkirkan Aminuddin daripada jawatannya.
Perlembagaan negeri memperuntukkan bahawa sesuatu keputusan boleh dibuat oleh sekurang-kurangnya tiga undang, atau oleh jumlah undang yang masih hidup ketika keputusan itu dibuat.
