Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Krisis NS: Mubarak diarah kosongkan kediaman rasmi

Krisis di antara institusi adat dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, terus memanas apabila kerajaan negeri mengarahkan Balai Undang Sungai Ujong dan kediaman rasmi berkaitan dikosongkan.

Surat yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 29 April itu mengarahkan pengosongan dilakukan serta-merta.

Melalui surat yang ditandatangani Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin, ia menyebut keputusan berkenaan dibuat selaras dengan ketetapan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu.

"Sehubungan dengan itu, pihak tuan puan diarahkan untuk melaksanakan pengosongan bagunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungai Ujong berkuatkuasa serta-merta," kata surat yang dilihat Malaysiakini.

Pada 22 April lalu, Undang Sungai Ujong yang dipertikaikan mendakwa pembesar yang ingin memecatnya telah dipecat sebelum ini atas dakwaan salah guna kuasa.

Menurut pejabat Undang Luak Sungai Ujong, dua daripada pembesar tersebut telah kehilangan status mereka sebagai Dato' Lembaga Adat sejak Dis 2024, sekali gus membatalkan keputusan mereka untuk memecat Mubarak Thahak sebagai Undang pada tahun lalu.

"Maka dengan itu tidak terpakai mana-mana pendapat mereka berdua dan status mereka bukan lagi Orang Bergelar di luak Sungai Ujong yang termaktub dan berkuat kuasa pada 1 Dis 2024," kata pejabat Undang itu dalam satu kenyataan yang diterbitkan di akaun Facebook rasminya.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Negeri Sembilan berdepan kemelut yang menyaksikan Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka untuk memecat Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar dan menggantikannya dengan seorang lagi ahli keluarga diraja Negeri Sembilan.

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir

Ia dibuat sebagai tindak balas kepada keputusan DKU Negeri Sembilan - yang dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz - kerana membenarkan keputusan pembesar Sungai Ujong yang dipertikaikan memecat Mubarak.

Semalam, Telaga Undang Luak Sungai Ujong, Sharifah Norzaidah Al-Qadri, dalam satu kenyataan meminta pihak berkuasa bertindak segera sekiranya ada adat istiadat berlangsung di Balai Undang Luak Sungai Ujong tanpa kebenaran Telaga Undang.

Katanya, Balai Undang Luak Sungai Ujong di Ampangan tidak boleh digunakan untuk adat istiadat berikutan pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.

Semalam, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar bersidang di Balai Undang Luak Sungai Ujong dipercayai bagi membincangkan perkembangan terkini krisis yang semakin meruncing.

Tokoh-tokoh adat yang hadir termasuk empat Undang iaitu Datuk Klana Petra Mubarak (Sungai Ujong); Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Maarof Mat Rashad (Jelebu); Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah (Johol); serta Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau).

Turut serta ialah Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri dan Baharudin Abdul Khalid.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim ketika dihubungi media enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Difahamkan kakitangan kerajaan negeri yang bertugas di kediaman rasmi dan balai undang juga sudah diberikan penempatan baru.

Sementara itu, wakil pejabat Undang Luak Sungai Ujong mengesahkan telah menerima surat arahan pengosongan premis berkenaan.

Bagaimanapun perkara itu akan dirujuk kepada peguam bagi tindakan selanjutnya.

Surat berkenaan diserahkan pihak pejabat setiausaha kerajaan negeri sekitar pukul 4.50 petang tadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS