Veteran politik Rais Yatim menegaskan tindakan mengusir Undang Luak Sungai Ujong dari Balai Sungai Ujong dan kediaman rasmi adalah sangat mendukacitakan dan membawa kepada implikasi yang lebih besar.
Malah katanya, Menteri Besar Aminuddin Harun seharusnya mengambil langkah positif dan tidak keterlaluan sebelum keadaan seperti ‘nasi menjadi bubur’.
“Kes ini belum lagi selesai, jadi kerajaan negeri tidak harus mengambil tindakan undang-undang bersendirian.
“Bawa kepada penyelesaian dahulu, cadangan saya hari itu ialah kedua-dua pihak iaitu Undang Yang Empat dan Yang di-Pertuan Besar bermuafakat di bawah payung Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.
“Bawa di situ dan tarik balik apa-apa tohmahan atau dakwaan yang dibuat. Dan wujudkan balik sepakat mengikut adat dan juga perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.
Perkembangan krisis di antara institusi adat dan Aminuddin dilihat terus memanas apabila kerajaan negeri mengarahkan Balai Undang Sungai Ujong dan kediaman rasmi berkaitan dikosongkan.
Surat yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 29 April itu mengarahkan pengosongan dilakukan serta-merta.
Melalui surat yang ditandatangani Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin, ia menyebut keputusan berkenaan dibuat selaras dengan ketetapan sidang khas DKU dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 17 April lalu.

Pada 22 April lalu, Undang Sungai Ujong Mubarak Thahak mempertikai kesahihan pemecatannya, dengan mendakwa pembesar yang ingin memecatnya telah dipecat sebelum ini atas dakwaan salah guna kuasa.
Menurut pejabat Undang Luak Sungai Ujong, dua daripada pembesar tersebut telah kehilangan status mereka sebagai Dato' Lembaga Adat sejak Dis 2024, sekali gus membatalkan keputusan mereka untuk memecat Mubarak sebagai Undang pada tahun lalu.
"Maka dengan itu tidak terpakai mana-mana pendapat mereka berdua dan status mereka bukan lagi Orang Bergelar di luak Sungai Ujong yang termaktub dan berkuat kuasa pada 1 Dis 2024," kata pejabat Undang itu dalam satu kenyataan yang diterbitkan di akaun Facebook rasminya.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika Negeri Sembilan berdepan kemelut yang menyaksikan Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka untuk memecat Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar dan menggantikannya dengan seorang lagi ahli keluarga diraja Negeri Sembilan.
Jangan ambil tindakan bersifat politik
Sementara itu, Rais yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata, di sebalik krisis politik yang berlaku, keutamaan harus diberikan kepada penyelesaian krisis istana dengan Undang Yang Empat.
Menurut pengkaji adat perpatih itu, ia mesti diatasi oleh semua pihak tanpa ada sifat mala-fide ataupun penyelewengan.
“Pentingnya begitu ialah apabila pihak diraja tadi tidak bersekutu dan bersama, banyak implikasi dia akan berlaku.
“Pertama, undang-undang yang dibuat tidak sah.
“Kemudian juga, himpunan Dewan Undangan Negeri (DUN) mungkin terbuka kepada risiko ketidakabsahan.
“Ketiga ialah berkaitan dengan keamanan awam di negeri itu mungkin dipersoal atau jadi prejudicial,” katanya.
Mengulas lanjut, Rais berkata, jalan terbaik adalah sekiranya kerajaan negeri menolak apa-apa tindakan bersifat politik dan selesaikan secara bersama.
“Jangan mengambil tindakan unilateral (sepihak) seperti misalnya mengarah Undang Luak Sungai Ujong keluar daripada kediaman. Sekarang mereka sedang membuat langkah-langkah yang tidak diingini itulah.
“Kes ini belum lagi selesai, jadi kerajaan negeri tidak harus mengambil tindakan undang-undang bersendirian,” jelas Rais sambil menegaskan tindakan itu terlalu membelakangi perlembangaan dan undang-undang.
Menurut Rais lagi, Mubarak juga belum didapati bersalah.
“Sebab itu, jangan ambil tindakan mengusir dulu. Kalau mengusir undang, maka istana pun perlu diusir.
“Jadi, dua hal ini tidak seberat mana yang ditengok oleh orang dan perlu dihentikan. Saya telah minta bantuan pihak-pihak perundangan supaya mengingatkan kerajaan negeri agar jangan keterlaluan mengambil tindakan sehingga nampak cuai dalam mentadbir dan juga mengolah tuntutan undang-undang,” katanya.
Tambahnya, meletakkan krisis istana dan Undang Yang Empat dalam keadaan was-was berisiko menyebabkan status kerja dan pentadbiran kerajaan negeri terbengkalai kerana isu undang-undang.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Mubarak turut mempersoalkan langkah kerajaan negeri yang menurutnya akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Kenapa kerajaan negeri mengambil tindakan terburu-buru seperti itu? Ia akan mengeruhkan lagi keadaan terutamanya hubungan institusi Undang dengan kerajaan negeri yang sdg berlaku sekarang.
“Tiada keperluan mendesak untuk mengambil tindakan itu dalam suasana sekaran,” katanya.
