PN Pahang hari ini menyatakan rasa bimbang parti itu terhadap isu mendapan pasir yang serius sehingga membawa kepada ancaman keselamatan kepada penduduk negeri berkenaan.
Pengerusi PN Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti pembangkang itu kesal melihat kenyataan yang “kurang tepat” serta “tidak wajar” dibuat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, terkait isu pengeksportan pasir.
Kata Tuan Ibrahim, kenyataan Anwar seolah-olah menggambarkan bahawa titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah, di dewan undangan negeri semalam tidak mengambil kira realiti ekonomi secara makro.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata persepsi sebegitu bukan sahaja tidak tepat, malah tidak mencerminkan kepekaan seorang pemimpin tertinggi negara terhadap institusi diraja dan keadaan sebenar di peringkat negeri.
“Hakikatnya, banyak sungai di Pahang kini berdepan masalah mendapan pasir yang serius menyebabkan sungai menjadi semakin lebar tetapi cetek.
“Keadaan ini meningkatkan risiko limpahan air dan banjir, khususnya ketika musim hujan.
“Justeru, kerja-kerja pengorekan dan pendalaman sungai merupakan keperluan mendesak bagi mengurangkan risiko tersebut,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Semalam Tengku Hassanal menzahirkan rasa prihatin baginda terhadap keadilan undang-undang Persekutuan yang dianggap tidak berpihak kepada Pahang ketika negeri itu menjadi antara pihak terawal membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Titah baginda, hasil dari negeri-negeri itu disatukan sebelum dikembalikan.
"Saya begitu kecewa apabila kerajaan Pusat tidak meluluskan usaha kerajaan Pahang untuk menambahkan hasil negeri seperti eksport pasir sungai.
"Memandangkan Pahang memiliki sungai terpanjang di Semenanjung, banyak mendapan pasir perlu dikeluarkan bagi kelancaran aliran air sungai dan mengelakkan banjir.
"Sebelum ini kita boleh menambah hasil negeri berpuluh-puluh juta dengan eksport pasir ke negara lain, tapi malangnya kerajaan Pusat tidak lagi membenarkannya sedangkan hasil tanah dan pasir ini hak Pahang," titahnya.
Perlu lihat secara menyeluruh
Anwar kemudian memberitahu kerajaan menghormati Tengku Mahkota Pahang dan akan meminta Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan kepada negeri tidak lama lagi.
Menurut Anwar, Tengku Hassanal juga akan diberikan penerangan berkaitan kedudukan makroekonomi negara, tekanan ekonomi semasa dan isu pembaziran yang masih berlaku dalam pelbagai sektor.
“Sebagai rakyat, kita hormati dan kita teliti dengan baik,” katanya ketika diminta mengulas teguran berkenaan.
Lewat malam tadi pula Tengku Hasanal memberikan reaksi kepada kenyataan perdana menteri dengan serangkap pantun Melayu lama.

Baginda juga menegaskan pendirian Pahang agar negeri itu diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama.
Tuan Ibrahim berkata usaha mendalamkan semula sungai memerlukan kos yang tinggi.
Justeru, katanya, PN berpendapat cadangan menjual pasir yang dikorek bukan sahaja langkah praktikal bagi menampung kos tersebut, malah berpotensi menambah hasil negeri secara sah dan berkesan.
“Malangnya, sekatan kerajaan Persekutuan terhadap eksport pasir menjejaskan usaha ini.
“Tanpa saluran pasaran yang mencukupi, lambakan pasir akan terus berlaku, sekali gus memburukkan lagi keadaan sungai dan meningkatkan risiko banjir pada masa hadapan.
“Oleh itu, isu ini perlu dilihat secara menyeluruh, bukan semata-mata dari sudut dasar ekonomi. Ia melibatkan hak negeri, keselamatan rakyat dan keperluan mengurus sumber secara bijaksana,” katanya.
Tuan Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang menambah, PN menyeru Putrajaya meneliti semula dasar berkaitan sekatan eksport pasir dan memberi ruang kepada kerajaan negeri menguruskan sumbernya secara lebih efektif.
“Jangan hanya melihat pasir sebagai komoditi ekonomi; lihatlah ia juga sebagai isu keselamatan rakyat dan pengurusan banjir. Apabila suara negeri tidak didengar, rakyat akhirnya yang menanggung akibat,” katanya.
