Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata dia tidak akan mengemukakan rayuan selepas keahliannya dalam Bersatu digantung selama dua penggal berkuat kuasa 8 Mei lalu.
Sebaliknya Ikmal mempersoalkan penggantungan tersebut yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan.
"Saya tidak akan membuat sebarang rayuan terhadap hukuman yang dikenakan. Ia disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh saya boleh dipersoalkan," katanya dalam kenyataan.
Ikmal berkata, dia menerima notis tunjuk sebab pada 29 April lalu susulan aduan yang diterima Lembaga Disiplin pada 20 April 2026.
Antara dakwaan terhadapnya termasuk menghadiri program politik yang dianjurkan individu yang telah digantung dan dipecat parti serta menghadiri Program Aidilfitri Reset Malaysia pada 10 April lalu.
"Apakah salah saya menghadiri program yang dianjurkan oleh individu yang telah digantung dan dipecat sedangkan ia sebagai tanda simpati kepada sahabat seperjuangan?
"Begitulah juga apabila saya didapati bersalah menghadiri Program Aidilfitri Reset. Saya hairan kenapa kehadiran ke majlis seumpama itu yang bertujuan mengeratkan silaturahim dan meraikan Aidilfitri dianggap satu kesalahan?"soalnya.

Selain Ikmal, empat lagi ahli parlimen Bersatu digantung daripada parti iaitu Khalib Abdullah (Rompin), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Selain itu dua wakil rakyat di Kedah, dipecat keahlian iaitu Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.
Turut digantung keahlian ialah dua Adun di Perak, Ahmad Man (Kuala Sepetang) dan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh), manakala Ketua Bersatu Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmat pula dipecat keahlian.
Mengulas lanjut, Ikmal Hisham mendakwa tindakan terhadapnya mempunyai niat untuk menghalangnya daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Tetap akan bertanding di Tanah Merah
Bagaimanapun, Ikmal menegaskan keputusan sama ada dia akan terus bertanding bukan ditentukan oleh Bersatu, sebaliknya bergantung kepada sokongan rakyat Tanah Merah.
"Insya-Allah saya akan tetap bertanding jika rakyat Tanah Merah terus menyokong saya walaupun bukan lagi di bawah payung Bersatu," katanya.
Ikmal turut memaklumkan dia akan terus bersuara atas nama Perikatan Nasional kerana masih merupakan Ahli Parlimen gabungan itu.
Malah katanya, dia bertanding pada PRU lalu menggunakan lambang PAS.
“Oleh itu saya akan terus melaksanakan tanggungjawab dan bersuara serta memperjuangkan nasib penduduk Tanah Merah dan negara atas nama Perikatan Nasional,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ikmal berkata dia masih belum memutuskan hala tuju politiknya memandangkan statusnya ketika ini hanya digantung dan bukannya dipecat daripada Bersatu.
"Insya-Allah apabila tiba masanya saya akan memaklumkan hala tuju politik saya," katanya.
