Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abd Rahman dakwa disahkan sebagai Undang Luak Sungai Ujong

Bekas kerani yang juga Waris Hulu Perut Klana Abd Rahman Limat, 70, mendakwa pemasyhuran dirinya sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11 adalah disahkan Lembaga Tiang Balai Waris Hulu.

Dalam majlis pemasyhuran yang berlangsung di Telapak Tua Kampung Chedang, Seremban, semalam, menurutnya, majlis itu berlangsung mengikut adat pusaka dan dipersetujui oleh Ibu Soko, Buapak dan Tiang Balai Perut Waris Hulu.

“Saya ini daripada Waris Hulu Perut Kelana, apa yang dimasyhurkan semalam itu sudah lengkap, dengan lembaga adat, ibu suko dan dimasyhurkan oleh Datuk Seri Maharaja.

“Sebelum ini saya memegang jawatan Datuk Juan Waris Perut di Hulu Luak Sungai Ujong (buapak) dan dulu pun saya dah pernah hantar pencalonan sebagai Datuk Undang Sungai Ujong pada 2004.

“Tetapi mungkin tak ada rezeki masa itu, kali ini cuba lagi kali kedua,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Negeri Sembilan menjadi tumpuan selepas penyandang Datuk Undang Sungai Ujong, Mubarak Thahak dilaporkan dipecat daripada jawatannya malah turut diperakui oleh kerajaan negeri.

Dia bersama tiga Undang lain bagaimanapun mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar, Aminuddin Harun dalam kenyataannya pada 20 April lalu menjelaskan bahawa tindakan Mubarak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz tidak boleh diiktiraf.

Ini kerana menurutnya Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungai Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Udang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan(UUTKNS) 1959.

Pada 5 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan sekumpulan pemimpin adat dari keturunan Klana Hulu mengumumkan mereka sebulat suara melantik Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baru bagi wilayah itu.

Ini berlaku ketika Mubarak dan penyokongnya - termasuk tiga undang yang lain - terus menegaskan bahawa dia masih menjadi Undang Sungai Ujong.

Abd Rahman yang juga bapa kepada enam anak menegaskan jawatan itu merupakan pusaka dan dia sebagai waris mempunyai hak.

“ni hak waris, pusaka ini bertuan, ada tuan yang punya. Jadi pihak lain tak ada kena-mengena tak boleh, hak pusaka ibarat tak boleh nak dicabut, dianjak daripada hak yang punya tuannya.

“Itu sebab pasal berbilang adat (kata) dicabut mati dianjak layu. bermakna adat ini berpusaka, pusaka ada tuannya.

“Walaupun hari ini digambarkan macam-macam oleh mereka yang tak faham tentang adat ini. Yang bercakap macam saya ini, yang punya pusaka,” tegasnya.

Susulan majlis pemasyhuran yang dihadiri lebih 500 orang semalam, Abd Rahman berkata pihaknya akan mengemukakan dokumen rasmi kepada Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Tuanku Muhriz, Aminuddin, penasihat undang-undang negeri dan ketua polis negeri dalam masa terdekat.

“Saya buat pemasyhuran ini dihadiri lebih 500 orang, kita panggil waris-waris.

“Ibarat kata dalam adat, diseru menyahut, dipanggil datang, hilang dicari, tenggalam diselami, hanyut dipintasi, yang jauh didekati,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS