Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azam Baki banyak lakukan reformasi SPRM, kata KSN
Diterbitkan:  May 13, 2026 5:15 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki banyak melakukan reformasi sepanjang menerajui badan pengutkuasaan itu.

Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata, reformasi yang dilakukan Azam mengangkat suruhanjaya itu sebagai sebuah badan yang unggul.

"Jasa bakti Tan Sri (Azam) akan sentiasa dikenang dan semoga terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti selepas ini," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Azam bersara daripada jawatan itu semalam, selepas berdepan pelbagai siri bantahan awam.

Malah kerajaan Madani berdepan tekanan hebat bagi memastikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak menyambung kontrak Azam buat kali keempat.

Shamsul Azri Abu Bakar

Azam dikaitkan dengan kontroversi berhubung pemilikan saham seperti didedahkan media antarabangsa Bloomberg serta turut dikaitkan dengan isu ‘mafia korporat’.

Terakhir, Himpunan Tangkap Azam Baki diadakan pada 25 April di ibu negara bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat Azam.

Azam menamatkan karier sebagai ketua pesuruhjaya SPRM semalam selepas 42 tahun berkhidmat dalam agensi berkenaan dan pernah disambung kontrak sebanyak tiga kali.

Sementara itu Shamsul Azri merakamkan ucapan tahniah kepada Abdul Halim Aman yang secara rasminya memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.

“Insya-Allah, saya percaya dengan kredibiliti dan pengalaman beliau dalam jalur perundangan akan terus memberikan nilai tambah, memperkukuh peranan serta mengangkat kedudukan SPRM sebagai badan penguat kuasa yang berprestij di dalam dan luar negara. 

“Selamat berkhidmat!” katanya dalam satu hantaran berasingan di Facebooknya.

Hari ini hari pertama Abdul Halim memulakan tugas

Abdul Halim memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1982.

Dia berkhidmat dalam pelbagai jawatan selama 22 tahun, termasuk sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, majistret di Kluang dan Muar, penolong kanan pendaftar di Mahkamah Tinggi Melaka serta hakim Mahkamah Sesyen di beberapa lokasi termasuk Tawau, Sandakan, Kuala Lumpur, Georgetown dan Ampang.

Pada 25 April lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan Abdul Halim yang juga bekas Hakim Mahkamah Tinggi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, berkuat kuasa pada 13 Mei.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS