Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan siasatan kontrak k'jaan 'hilang' lepas disiar tak sampai 48 jam

Satu siri laporan siasatan mengenai kelemahan sistem pendaftaran kontraktor berlesen bagi projek infrastruktur kerajaan telah diturunkan kurang dari 48 jam selepas ia diterbitkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan wujud tekanan luar.

Siri lapan bahagian bertajuk Fast-Tracked Contractors Exposed diterbitkan oleh SAYS hasil projek kewartawanan siasatan yang dijalankan selama dua tahun.

Laporan tersebut memaparkan pengalaman wartawan penyamar, rakaman audio temu bual, video, permainan interaktif serta reaksi pihak berkepentingan yang dinamakan dalam siasatan itu.

Tindakan menurunkan siri berkenaan mula dipersoalkan pengguna media sosial selepas pembaca menyedari kandungan itu tidak lagi boleh diakses dan berkongsi perkara tersebut di Facebook serta X.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, pasukan editorial SAYS mengesahkan laporan itu diturunkan sementara menunggu semakan lanjut.

Bagaimanapun, mereka menafikan wujud tekanan luar.

“Selepas semakan lanjut, kami mendapati laporan itu memerlukan imbangan tambahan dan penelitian perundangan bagi memenuhi piawaian kami,” katanya.

Menurut SAYS, semakan kandungan selepas penerbitan adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) editorial mereka.

“Di SAYS, kami terus memastikan setiap laporan selari sepenuhnya dengan piawaian editorial kami sebelum diterbitkan. Semakan kandungan selepas penerbitan adalah sebahagian daripada prosedur SOP editorial kami.

“Laporan yang disemak mungkin akan diterbitkan semula pada masa depan.

“Menangguhkan penerbitan apabila perlu adalah amalan standard bagi memastikan kandungan kami benar-benar mencerminkan nilai serta integriti editorial kami,” katanya.

Difahamkan, sebelum diterbitkan laporan tersebut telah melalui beberapa peringkat kelulusan termasuk semakan jabatan perundangan dan jualan penerbit berkenaan.

Bagaimanapun, satu sumber yang mengetahui proses penerbitan itu mendakwa wujud “panggilan” daripada pihak kerajaan yang mencetuskan kebimbangan dalaman berkaitan kemungkinan kehilangan pendapatan iklan.

“Kalau tiada panggilan, tidak akan ada arahan dalaman untuk menurunkan laporan itu,” dakwa sumber berkenaan yang enggan dinamakan.

Satu lagi sumber pula mendakwa panggilan kepada pengurusan kanan Media Prima Bhd (Media Prima) itu datang dari Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sumber itu turut mendakwa panggilan berkenaan ditujukan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, sebelum arahan menurunkan laporan dikeluarkan.

Bagaimanapun, Rafiq ketika dihubungi menafikan dakwaan tersebut.

“Saya tidak menerima sebarang panggilan sedemikian.

“Saya ingin menjelaskan bahawa keputusan untuk menurunkan laporan itu adalah keputusan dalaman oleh pasukan editorial SAYS.

“Pasukan editorial bebas untuk beroperasi dalam garis panduan yang ditetapkan dan diberi prerogatif untuk menerbitkan atau menurunkan kandungan mereka.

“Semakan berkala terhadap kandungan, termasuk selepas diterbitkan, adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan semua penerbitan selari dengan visi dan objektif editorial,” kata Rafiq kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS