Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi, Nik Nazmi serah surat letak jawatan MP pada Speaker
Diterbitkan:  May 18, 2026 2:31 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Bekas menteri, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad telah menyerahkan surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, bagi memaklumkan peletakan jawatan mereka sebagai ahli parlimen bagi kawasan masing-masing di Pandan dan Setiawangsa.

Dalam satu kenyataan, kedua-dua mereka berkata peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa hari ini.

"Langkah yang tepat dan terhormat adalah memulangkan kembali mandat itu kepada pengundi-pengundi di parlimen Pandan dan Setiawangsa, memandangkan kami dipilih di atas tiket Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum yang lepas.

"Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi Pandan dan Setiawangsa yang telah memilih kami mewakili mereka di Parlimen untuk dua penggal.

“Pusat Khidmat kami akan beroperasi seperti biasa untuk terus memberi bantuan dan khidmat kepada pengundi-pengundi," kata mereka.

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) dalam satu majlis yang dihadiri kira-kira 800 penyokong di Petaling Jaya.

Bersama - atau Parti Bersatu Malaysia didaftarkan pada tahun 2016 di Pulau Pinang.

Dalam majlis itu mereka turut memperkenalkan logo baru parti itu iaitu kancil bagi menggantikan logo asal parti tersebut.

Pada akhir ucapannya, Rafizi mengumumkan dia dan Nik Nazmi akan mengosongkan kerusi Parlimen dan menghantar surat peletakan jawatan kepada PKR, serta menyertai Bersama sebagai ahli esok (Selasa).

Rafizi juga mengumumkan pendaftaran keahlian Bersama kini dibuka di laman web rasminya.

Dalam sidang media selepas itu, Rafizi berkata PKR tidak boleh mengambil tindakan terhadap mereka atas dakwaan melanggar aku janji pilihan raya dengan parti itu.

Dia menjelaskan akujanji dengan PKR menyatakan mereka hanya boleh dikenakan tindakan undang-undang jika bertukar parti ketika masih bergelar wakil rakyat.

Rafizi berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa pilihan raya kecil biasanya tidak perlu diadakan jika sesuatu kerusi telah kosong lebih daripada tiga tahun selepas pilihan raya umum, terdapat peruntukan yang membenarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat memanggil pilihan raya kecil jika kekosongan itu menjejaskan jumlah kerusi majoriti yang dimiliki kerajaan.

Namun dalam situasi sekarang, Rafizi berkata kerajaan masih mempunyai majoriti 150 ahli Parlimen selepas dia dan Nik Nazmi mengosongkan kerusi.

PKR: Bon RM10 juta terpakai

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh bagaimanapun mendakwa terdapat bukti menunjukkan Rafizi dan Nik Nazmi telah menyertai Bersama pada Sabtu, sekali gus melanggar bon pilihan raya mereka dengan PKR pada tahun 2022.

Bon pilihan raya tersebut mewajibkan calon PKR kekal bersama parti sehingga tamat penggal.

Utusan Malaysia melaporkan Fuziah sebagai berkata bukti urutan peristiwa itu menafikan dakwaan kedua-duanya bahawa mereka tidak perku membayar bon RM10 juta kepada PKR setiap seorang.

Fuziah berkata bukti menunjukkan mereka telah pun “melompat” ke Bersama pada Sabtu lalu.

Ketika dihubungi, Fuziah memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa bukti tersebut merujuk kepada nama Rafizi dan Nik Nazmi yang disenaraikan sebagai pemimpin Bersama di laman web.

Namun, ini tidak semestinya bermaksud mereka telah menghantar permohonan keahlian secara rasmi, seperti yang dikatakan Rafizi bahawa dia hanya akan berbuat demikian pada Selasa.

Fuziah berkata peguam PKR akan meneliti perkara itu dengan lebih lanjut sebelum membuat keputusan sama ada untuk menyaman kedua-duanya bagi tuntutan bon RM10 juta.

Utusan Malaysia turut memetik Fuziah sebagai berkata bahawa biro politik PKR akan membincangkan tindakan terhadap semua Ahli Parlimen PKR yang hadir ke acara pelancaran Bersama dalam mesyuarat mereka esok.

Selain Rafizi dan Nik Nazmi, enam Ahli Parlimen PKR hadir ke acara tersebut semalam, iaitu Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), S Kesavan (Sungai Siput), Zahir Hassan (Wangsa Maju), dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS