Polis menemukan senjata yang disyaki digunakan seorang lelaki berusia 32 tahun menikam leher wanita di dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah dekat sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah berkata senjata tajam itu ditemukan di dalam semak kawasan sawah kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
“Dua hari lepas kita (polis) berjaya menjumpai senjata yang digunakan, reman suspek masih berjalan. Polis jumpa lebih kurang 200 meter dari tempat kejadian iaitu dalam sawah.
“Polis jumpa pisau Rambo dengan dipandu arah suspek. Kiranya menjurus kepada siasatan polis dan mangsa tiada kecederaan lain,” katanya kepada pemberita di program pelupusan barang kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar hari ini.
Sementara itu Adzli memberitahu keadaan mangsa berusia 35 tahun itu juga semakin positif selepas menjalani pembedahan semalam.
Sebelum ini media melaporkan seorang wanita cedera parah di leher dipercayai ditikam seorang lelaki yang dikenalinya dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, dekat sini pada jam 9.19 malam Ahad lalu.
Sementara itu, Adzli berkata polis akan melupuskan bahan terlarang di Pusat Pelupusan Pepejal Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan dengan nilai anggaran lebih RM12.39 juta, melibatkan pelbagai jenis dadah dan bahan terlarang yang telah selesai proses perundangan, serta mendapat perintah pelupusan daripada mahkamah.
“Program pelupusan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia memastikan semua barang kes berkaitan dadah diurus dan dilupuskan mengikut prosedur keselamatan serta peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya
Adzli berkata antara rampasan terbesar ialah heroin dan monoacetylmorhines sebanyak 212.35 kilogram dengan anggaran nilai RM7.43 juta dan 137.4 kg syabu dianggarkan bernilai RM4.95 juta.
Dia menambah pelupusan itu melibatkan 4,401 kertas siasatan dari 2011 hingga 2025.
- Bernama
