Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jambatan sungai terpanjang di Malaysia dibuka kepada lalu lintas
Diterbitkan:  May 21, 2026 4:50 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Jambatan No. 1, Batang Lupar, yang menghubungkan Sebuyau dan Maludam, akan dibuka kepada lalu lintas hari ini. Ia merupakan jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia.

Sebelum ini, Jambatan Sungai Johor sepanjang 1.7 kilometer merupakan jambatan merentasi sungai terpanjang di negara ini.

Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas merasmikan prapelancaran Jambatan Batang Lupar No.1 di Sebuyau, petang tadi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan jambatan itu merupakan antara projek infrastruktur ikonik di negeri berkenaan.

“Projek ini melibatkan pembinaan jambatan dua lorong sepanjang 4.8 kilometer dengan kos kontrak RM848,745,087.50.

“Jambatan ini menghubungkan Sebuyau dan Triso sekali gus menyediakan laluan pengangkutan yang lebih selamat, pantas dan lancar kepada komuniti di sepanjang koridor pesisir,” menurut kenyataan itu.

Pembinaan jambatan itu dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan secara signifikan, meningkatkan kecekapan logistik dan pengangkutan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi, pertanian dan pelancongan antara Sebuyau, Triso dan kawasan sekitarnya.

Dalam ucapannya pada majlis prapelancaran itu, Uggah berkata jambatan tersebut melambangkan komitmen berterusan Sarawak dalam memperkukuh jaringan perhubungan, merangsang pertumbuhan sosioekonomi dan meningkatkan akses rakyat khususnya di kawasan pesisir.

Pembinaan jambatan bermula secara rasmi pada Mac 2021 dan dilaksanakan oleh usaha sama antara Perbena Emas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Pansar Berhad, dan China Railway Major Bridge Engineering Group Co Ltd.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS