Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan hampir 190 serangan Israel terhadap hospital di Lubnan sejak Mac, yang mengakibatkan 128 petugas kesihatan terbunuh, kata Wakil WHO di Lubnan Abdinasir Abubakar, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Dalam tempoh tiga bulan sahaja, WHO mengesahkan hampir 190 serangan terhadap kemudahan kesihatan.
"Serangan ini mengorbankan 128 petugas kesihatan dan mengakibatkan 332 yang lain cedera," kata Abubakar pada satu taklimat di Geneva pada Selasa.
Menurut beliau, 11 serangan berlaku dalam tempoh minggu lalu sahaja, mengorbankan empat orang dan mencederakan 24 yang lain.
Abubakar berkata organisasi itu sedang mengesahkan laporan mengenai serangan udara ke atas Hospital Jabal Amel pada Isnin.
Berdasarkan maklumat awal daripada Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan terbabit mengakibatkan sekurang-kurangnya 86 orang cedera.
Beliau berkata tiga bulan kebelakangan ini merupakan antara tempoh paling berdarah bagi Lubnan sejak konflik itu bermula pada Oktober 2023.
Pada Isnin, Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan jumlah kematian akibat serangan udara Israel dari 2 Mac hingga 1 Jun telah meningkat kepada 3,433 orang, manakala 10,395 lagi cedera.
- Bernama - Sputnik / Ria Novosti
