PRN JOHOR | Di tengah-tengah kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan pertembungan sengit antara blok-blok politik utama, sebuah parti kecil cuba mengukir sejarah tersendiri di kerusi DUN Endau.

Hadir sebagai taruhan sulung Parti Orang Asli Malaysia (Parti Asli), Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Johor, Jati Awang, 52, sedar kehadirannya di pentas politik arus perdana mengundang pelbagai reaksi.

Bagaimanapun, Jati menepis dakwaan bahawa Parti Asli sekadar menjadi "pengacau" atau bertujuan memecahkan undi masyarakat Bumiputera.

"Tak ada... Kalau ada orang cakap begitu, itu kebohongan dan spekulasi semata-mata. Kami tidak pernah terfikir untuk menangkan PN atau Umno.

"Mereka buat program mereka untuk tarik undi, kami buat program kami sendiri.

"Niat kami bertanding adalah tulen demi masa depan masyarakat kami dan bukannya mahu menjadi alat politik mana-mana pihak," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Malaysiakini.

Pada PRN kali ini, Jati berdepan saingan empat penjuru menentang Hasnul Hakimi Hussien (PN-PAS), Saiful Nizam Samat (PH) dan penyandang dua penggal, Alwiyah Talib (BN).

Pada PRU 2018, Alwiyah yang lebih dikenali sebagai Kak Awi memenangi kerusi Endau atas tiket BN sebelum menyertai Bersatu dan mempertahankan kerusi itu di bawah PN pada PRN 2022.

Kali ini, dia kembali bertanding sebagai calon BN.

Bosan 'tumpang kapal orang'

Mengulas mengenai keputusan drastik menubuhkan parti baru pada Disember 2022 meskipun komuniti itu sudah mempunyai wakil dalam blok kerajaan dan pembangkang, Jati menjelaskan bahawa pendekatan lama kini tidak lagi relevan.

Dia merujuk kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang mewakili BN, serta bekas Senator Bob Manolan yang pernah bersama PH.

Walaupun menghormati perjuangan kedua-dua tokoh itu, Jati berpendapat kedudukan mereka dalam parti arus perdana mengehadkan kebebasan untuk memperjuangkan hak masyarakat Orang Asli.

"Memang ada wakil kita di sana, tetapi masalahnya mereka duduk di ‘rumah’ lain, kapal orang lain. Bob berjuang atas tekad PH, manakala Dato Ramli atas tekad BN.

"Apabila kita menumpang kapal orang, kita faham-faham sajalah... nak bersuara sikit pun terpaksa ‘ehem-ehem’, dah tak boleh buat apa sebab kena ikut prosedur dan disiplin parti mereka," katanya.

Menurut Jati, Parti Asli yang kini mempunyai kira-kira 30,000 ahli daripada 18 suku kaum Orang Asli di seluruh negara menyediakan platform bebas untuk memperjuangkan suara masyarakat itu tanpa kekangan politik.

"Atas tekad parti sendiri, kami boleh bersuara apa sahaja yang kami mahu, terutama untuk membetulkan keadaan membabitkan hak tanah adat kami yang semakin terpinggir," tambahnya.

Berdepan kekangan dana

Berhadapan jentera parti-parti besar, Jati mengakui Parti Asli bergerak sebagai parti "underdog" tanpa sokongan kewangan daripada taikun atau mana-mana pihak berkepentingan.

Tinjauan Malaysiakini di sekitar DUN Endau mendapati bendera Parti Asli hanya kelihatan di beberapa kawasan perkampungan tertentu, jauh berbeza dengan kempen parti-parti utama.

Jati tidak berselindung mengenai kekangan dana yang dihadapi sehingga memaksa jentera parti mengamalkan strategi berjimat cermat dan mencatu perbelanjaan kempen.

“Kami keluar duit sendiri, malah kami kutip sikit-sikit sesama ahli jawatankuasa negeri. Kami bukan tipu atau paksa sesiapa.

"Sebab itu jentera kami tidak boleh boros. Kalau habis modal awal-awal, hari ini kita dah tak boleh buat apa-apa.

"Jadi, kita simpan modal sikit untuk fasa akhir kempen bagi memastikan kami tetap boleh turun padang menyantuni masyarakat sekeliling," katanya.

Meskipun membawa nama 'Orang Asli', Jati memberi jaminan dia tidak akan mengamalkan sikap pilih kasih dan akan mewakili semua lapisan masyarakat sekiranya diberi mandat.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pengundi Melayu merangkumi 80.1 peratus pengundi di kawasan itu. Kumpulan pengundi kedua terbesar pula merupakan masyarakat Cina iaitu sebanyak 13.4 peratus, diikuti oleh komuniti Orang Asli yang membentuk 4.6 peratus.

Pengundi kaum India pula terdiri daripada 0.7 peratus dan lain-lain kaum sebanyak 0.9 peratus.

Isu elektrik dan air

Menyentuh isu tempatan, Jati mendakwa masih terdapat beberapa perkampungan Orang Asli di DUN Endau yang belum menikmati kemudahan asas secara menyeluruh, selain mendakwa infrastruktur di kawasan bandar kurang diberi perhatian.

Dia turut melihat potensi besar sektor pelancongan di Endau sekiranya kerajaan negeri membina jeti yang lebih tersusun dan menyokong pembangunan premis makanan terapung.

"Bagi komuniti nelayan di pekan Endau, saya melihat potensi besar ekonomi yang boleh melonjakkan sektor pelancongan sekiranya kerajaan negeri membina sebuah jeti yang lebih teratur serta menyokong pembukaan premis makanan terapung.

Jati turut mendakwa beberapa kampung Orang Asli masih berdepan masalah kemudahan utiliti asas.

"Isu elektrik dan air masih kritikal di dua tiga buah kampung ini. Kabel elektrik masih belum sampai, jadi penduduk terpaksa menggunakan minyak diesel untuk menghidupkan generator.

"Bukan itu sahaja, sistem air bawah tanah di sana selalu tersumbat. Bila rosak, penduduk terputus bekalan air bersih dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada air hujan dan air sungai untuk kelangsungan hidup harian," kata Jati yang berasal dari Kampung Tanah Abang.

Bapa kepada tujuh anak itu berharap pengundi memberi peluang kepada Parti Asli untuk membuktikan kemampuannya sekurang-kurangnya bagi satu penggal.

"Beri kami peluang sepenggal untuk kami betulkan keadaan. Kalau kami gagal, kami serahkan semula keputusan kepada rakyat," katanya.