Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendakwa pada hari Selasa bahawa Iran menyerang dua kapal di Selat Hormuz dengan peluru berpandu, menyebabkan seorang anak kapal maut dan lapan yang lain cedera.
AFP melaporkan serangan itu berlaku selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan siri serangan baharu terhadap Tehran, sekali gus menandakan ketegangan baharu dalam permusuhan yang kembali tercetus dalam perang Asia Barat.
UAE yang kaya dengan minyak merupakan sekutu utama AS di rantau itu dan melaporkan beberapa serangan peluru berpandu serta dron dari Iran sebelum ini.
"Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa kapal tangki nasional, Mombasa dan Al Bahiyah, menjadi sasaran dua peluru berpandu Iran ketika melalui laluan perkapalan selatan Selat Hormuz, di perairan wilayah Oman," lapor kementerian pertahanan UAE melalui aplikasi X.
Serangan itu mengorbankan seorang anak kapal warga India dan mencederakan lapan yang lain, termasuk empat individu yang mengalami kecederaan parah.
Serangan tersebut turut mencetuskan kebakaran pada kedua-dua kapal tangki yang membawa kepada kerosakan, namun keadaan berjaya dikawal.
"Kementerian Pertahanan mengecam serangan ketara ini dan menyifatkannya sebagai pelanggaran serius serta pelanggaran undang-undang antarabangsa yang nyata, yang mengancam keselamatan dan kestabilan serantau," menurut kementerian itu.
Selat Hormuz, laluan perkapalan penting yang menjadi laluan bagi satu perlima daripada bekalan minyak dunia sebelum perang meletus pada Februari, menjadi punca pertikaian utama antara AS dan Iran.
Trump pada Isnin berkata akan mengenakan bayaran ke atas semua kargo yang dihantar melalui laluan air berkenaan bagi menampung kos memastikannya kekal terbuka, selain menguatkuasakan semula sekatan maritim terhadap kapal-kapal Iran yang telah ditarik balik bulan lepas.
