Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perlombongan emas haram di negeri itu susulan penahanan tiga warga asing dan rampasan pelbagai jentera serta peralatan bernilai kira-kira RM4.2 juta dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di Galas, Gua Musang.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata operasi yang diketuai Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan pada 13 Julai lepas dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa itu bagi membanteras aktiviti perlombongan emas tanpa lesen.
Beliau berkata antara aset yang dirampas ialah dua ekskavator, dua jentolak, tiga lori, sebuah dumper, generator elektrik, palong besi serta 20 unit karpet yang dipercayai digunakan dalam proses pengasingan mineral.
“Kerajaan negeri memandang serius kegiatan perlombongan emas secara haram yang masih berlaku kerana ia menjejaskan pengurusan sumber mineral negeri, merosakkan alam sekitar serta menghakis hasil yang menjadi hak kerajaan negeri dan rakyat Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang masih menjalankan aktiviti perlombongan emas tanpa lesen atau kelulusan sah agar menghentikan operasi mereka serta-merta atau tindakan tegas akan diambil.
Beliau berkata siasatan juga akan diperluaskan bagi mengenal pasti dalang, pemodal, penganjur, orang tengah, penyedia jentera atau individu tempatan yang disyaki bersubahat memberi perlindungan atau memperoleh manfaat daripada kegiatan berkenaan, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mereka.
“Kerajaan negeri akan membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan di lapangan, pengumpulan bahan bukti serta memanggil saksi sebelum tindakan pendakwaan diteruskan mengikut peruntukan Enakmen Mineral (Kelantan) 2001 dan undang-undang berkaitan,” katanya.
Mohamed Fadzli berkata operasi penguatkuasaan secara bersepadu akan terus diperkukuh bersama PTG, Bahagian Penguatkuasaan Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan tersebut.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan khazanah mineral negeri terus dipelihara.
- Bernama
