Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Umno tidak minat nama Perikatan Barisan Nasional’
Diterbitkan:  Jul 23, 2026 4:24 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Beberapa pemimpin Umno menyatakan rasa kurang senang terhadap jenama "Perikatan Barisan Nasional" (PBN) yang dicadangkan oleh Presiden Wawasan Negara, Hamzah Zainudin untuk menggambarkan persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan BN.

Semasa berkempen pada pilihan raya negeri Negeri Sembilan di Tampin pada Selasa lalu, Hamzah berkata penggunaan nama itu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat berhubung kerjasama kedua-dua gabungan politik berkenaan,

Bagaimanapun, beberapa tokoh Umno tidak berkongsi kesungguhannya terhadap nama berkenaan, dengan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN hari ini menegaskan bahawa tiada perbincangan rasmi diadakan mengenai kelanjutan kerjasama itu selepas pilihan raya negeri. itu

Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri berkata setakat ini cadangan hanya dibangkitkan menerusi ucapan dalam siri kempen politik semata-mata, manakala perbincangan menerusi saluran rasmi belum berlaku.

"Sebaiknya adakan perbincanganlah. Kita 'formalize' (lakukan secara rasmi) lah kalau itu serius cadangannya,” kata Zahid pada sidang media di George Town, hari ini.

Terdahulu, Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan istilah PBN sebagai "tidak relevan" kerana ia membayangkan pembentukan satu gabungan politik baharu.

Sebaliknya, Wan Rosdy, yang juga menteri besar Pahang, menegaskan bahawa kerjasama antara BN dan PN yang terjalin setakat ini hanyalah persefahaman untuk menghadapi pilihan raya negeri Negeri Sembilan.

Wan Rosdy Wan Ismail

"Kenyataan beliau (Hamzah) itu di luar daripada konteks kita bincangkan sebelum ini. Bagi saya istilah itu tidak relevan, ia hanya gabungan semasa ini.

“Saya pun tak tahu apa tafsiran dia (Hamzah),” katanya semasa ditemui pemberita selepas majlis kempen di Jempol malam semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, yang mengesahkan bahawa kepimpinan BN tidak pernah membincangkan atau meluluskan penggunaan nama PBN.

Mengulangi kenyataan Wan Rosdy, Asyraf berkata kerjasama yang dibentuk dengan PN hanya berasaskan persefahaman untuk mengelakkan pertindihan kerusi dan memastikan kemenangan bersama.

Asyraf Wajdi Dusuki

"Mengenai Perikatan Barisan Nasional, itu kenyataan dia. Kami kepimpinan tak pernah setuju.

“Biar kita bekerjasama dan mempunyai kesefahaman, tidak bertindih kerusi dan sama-sama menang dalam PRN Negeri Sembilan.

“Kalau kita boleh bekerjasama dengan baik, insya-Allah Negeri Sembilan menjadi permulaan dan pencetus kepada suatu penyatuan yang didambakan oleh umat Islam keseluruhannya,” katanya

Dia seterusnya menggesa semua pihak menerima kerjasama itu dengan ikhlas bagi memastikan BN pulih kekuatannya dan mampu menguasai pentadbiran Negeri Sembilan sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

Bagi Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, isu nama bagi kerjasama antara BN dan PN bukanlah perkara yang harus difikirkan pada masa ini.

Jalaluddin Alias

"Itu cadangan beliau (Hamzah) saja dan ia akan ditentukan oleh kedua-dua pucuk pimpinan.

"Tapi saya fikir ia tidak memberikan sesuatu yang besar dan bukanlah sesuatu yang harus difikirkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS