ULASAN | Dalam landskap PRN Negeri Sembilan, DUN Chennah telah menjadi tumpuan utama bukan kerana saiznya, tetapi kerana apa yang diwakilinya dalam konteks politik Malaysia yang lebih luas, dan calon penyandang yang masih mampu bertahan dan berkembang dalam suasana persaingan yang semakin sengit.
Chennah menarik perhatian kerana beberapa faktor. Pertama, Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, seorang tokoh nasional bertanding sebagai calon incumbent atau penyandang.
Kedua, pertembungan kali ini mengambil bentuk satu lawan satu antara Loke dan calon MCA, Siow Kong Choon, tanpa gangguan pertembungan pelbagai penjuru. Ketiga, komposisi pengundi Chennah yang hampir seimbang antara Melayu dan Cina menjadikannya kerusi yang memerlukan kepimpinan rentas kaum - dan itulah yang telah ditunjukkan oleh Loke selama tiga penggal berturut-turut.
Dengan kira-kira 14,422 pengundi berdaftar, Chennah mempunyai sekitar 48.49 peratus pengundi Melayu, 42.57 peratus pengundi Cina, 2.0 peratus pengundi India, dan 6.93 peratus kaum lain. Dalam kerusi seperti ini, kemenangan memerlukan sokongan merentasi kaum - dan ternyata Loke telah menunjukkan kematangan politiknya sebagai pemimpin yang melampaui sempadan etnik dan mampu menyatukan komuniti yang pelbagai selama ini.
Anthony Loke memasuki PRN ini dengan rekod yang sukar ditandingi di peringkat kerusi negeri. Beliau menang pada 2013 dengan majoriti 1,098 undi, meningkat kepada 1,155 pada 2018, dan seterusnya kepada 2,200 pada PRN 2023 apabila beliau meraih 5,888 undi menewaskan calon PN.
Peningkatan majoriti yang konsisten ini mencerminkan kepercayaan dan hubungan yang berterusan antara penyandang dan pengundi kawasannya. Setiap pilihan raya menjadi pengesahan semula bahawa pengundi Chennah menghargai apa yang telah diberikan oleh Loke.

Kekuatan Loke datang daripada gabungan tiga elemen yang saling mengukuhkan. Pertama, kebolehnampakan nasional yang tinggi sebagai pemimpin parti dan menteri kabinet, yang membolehkannya membawa perhatian dan sumber kepada kawasan. Kedua, rekod khidmat di kawasan yang telah dibina selama lebih satu dekad melalui akses dan keupayaan penyelesaian masalah yang berkesan. Ketiga, persepsi yang meluas bahawa beliau mudah didekati dan ikhlas dalam hubungan akar umbi.
Loke sendiri telah membuktikan bahawa sokongan Melayu di kawasannya menyaksikan peningkatan majoritinya dari satu pilihan raya ke pilihan raya yang berikutnya.
Gabungan peranan nasional dan komitmen tempatan ini memberi kelebihan kepada pengundi Chennah. Sebagai Menteri Pengangkutan dan Setiausaha Agung DAP, Loke mempunyai akses langsung kepada pusat kuasa dan keupayaan untuk membawa isu kawasan ke peringkat tertinggi.

Ini bermaksud pengundi Chennah bukan sahaja mendapat wakil rakyat yang mampu menyelesaikan masalah kawasan, tetapi juga seorang pemimpin yang boleh menggerakkan sumber dan perhatian kerajaan pusat terhadap kepentingan pembangunan negeri— satu kelebihan yang jarang dimiliki oleh kerusi Negeri Sembilan yang lain dan menjadikan Chennah antara kawasan yang unik dari segi representasi politik.
Siow Kong Choon, calon MCA, memasuki pertandingan ini dengan naratif calon tempatan yang boleh memberi tumpuan sepenuh masa kepada kawasan. Walaupun strategi ini mempunyai logiknya tersendiri, ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Dalam kerusi campuran seperti Chennah, pengundi sudah mempunyai pengalaman dengan penyandang yang menggabungkan peranan nasional dan komitmen tempatan dengan jayanya. Persoalannya bukan sekadar siapa yang lebih kerap hadir secara fizikal, tetapi siapa yang lebih berkesan membawa hasil yang nyata kepada kawasan.
Dalam politik pilihan raya, kepercayaan yang dibina melalui tiga penggal perkhidmatan yang konsisten dan berkesan mempunyai daya tahan yang kuat, dan calon baru perlu menawarkan lebih daripada sekadar janji kehadiran untuk mengubah fikiran pengundi yang sudah melihat hasil nyata daripada wakil sedia ada.

Selain itu, MCA sendiri menghadapi cabaran identiti dalam landskap semasa. Dalam konteks kerjasama BN-PN mengelubungi pertembungan di Chennah, MCA perlu meyakinkan pengundi bahawa ia masih relevan dalam kerusi campuran dan masih mampu menarik pengundi bukan Melayu yang secukupnya.
Salah satu pencapaian paling signifikan Anthony Loke di Chennah ialah keupayaannya membina sokongan dalam kalangan pengundi pelbagai kaum. Ini adalah hasil kerja akar umbi yang berterusan dan pendekatan yang mengutamakan keperluan semua pengundi tanpa mengira latar belakang etnik.
Pengundi Melayu di Chennah boleh dibahagikan kepada beberapa kelompok, tetapi yang paling menarik ialah pengundi pragmatik yang menilai calon berdasarkan prestasi, bukan semata-mata identiti parti. Kelompok ini sering menjadi penentu dalam kerusi campuran, dan hakikatnya Loke telah berjaya mengekalkan dan meningkatkan sokongan mereka selama tiga penggal menunjukkan bahawa pendekatan beliau diterima baik. Sentimen Melayu di Chennah lebih tepat dibaca sebagai sentimen pragmatik yang menghargai hasil kerja.

Kerjasama BN-PN juga berpotensi membentuk sebahagian corak pengundian Melayu di Chennah, khususnya dalam situasi calon MCA yang tidak mampu meraih undi Cina. Namun, kesannya tidak bersifat automatik. Dalam kerusi campuran seperti Chennah, pengundi Melayu turut dipengaruhi oleh faktor selain identiti parti.
Ini memberi isyarat bahawa di Chennah, politik rentas kaum bukan sekadar slogan tetapi realiti yang telah dibuktikan melalui peti undi berulang kali. Peningkatan majoriti yang konsisten dari 2013 hingga 2023 adalah bukti bahawa formula ini diterima oleh pengundi pelbagai latar belakang.
Kerjasama BN-PN mencetuskan senario baru tetapi kesannya di sini lebih terhad berbanding kerusi Dun di Johor. Chennah ialah kerusi campuran dengan dinamik yang berbeza dengan kerusi Dun di Johor.
Di kerusi campuran di Negeri Sembilan, pengundi menghargai keseimbangan dan keterangkuman. Kerjasama BN-PN yang terlalu menonjolkan satu naratif etnik boleh menolak pengundi bukan Melayu dan pengundi pragmatik Melayu yang mahukan wakil rakyat yang mewakili semua. Ini bermaksud formula yang mungkin berkesan di tempat lain tidak semestinya memberi kelebihan di Chennah, malah boleh menjadi halangan jika ia dilihat sebagai terlalu eksklusif dan tidak mencerminkan kepelbagaian kawasan.

Dalam konteks ini, kelebihan Loke menjadi lebih jelas. Beliau sudah membuktikan keupayaan untuk membina sokongan merentasi kaum, dan pendekatan keterangkuman ini lebih sesuai dengan karakter pengundi Chennah yang pelbagai. Formula politik yang berjaya di sini ialah formula yang merangkumi semua — dan itulah yang ditawarkan oleh Loke.
Beberapa pemboleh ubah utama akan mempengaruhi pertembungan di Chennah. Pertama ialah peratusan keluar mengundi. Dalam kerusi seperti ini, peratusan keluar mengundi yang tinggi selalunya memihak kepada penyandang yang mempunyai jaringan kukuh dan struktur kempen yang stabil. Kedua ialah faktor pengenalan nama dan kepercayaan yang sudah terbina, yang memberi kelebihan psikologi yang sukar ditandingi oleh calon baru dalam tempoh kempen yang singkat.
Faktor ketiga ialah identiti kerusi itu sendiri. Chennah telah lama menjadi kerusi yang disandang oleh tokoh yang menggabungkan kerja akar umbi dan pengaruh nasional, dan pengundi menerima baik model ini kerana ia telah terbukti membawa hasil. Calon lawan perlu meyakinkan pengundi bahawa perubahan model kepimpinan adalah perlu.
Chennah perlu dibaca dalam konteks Negeri Sembilan yang lebih luas, di mana pengundi atas pagar hari ini lebih banyak menilai politik melalui tiga lensa utama: prestasi semasa kerajaan, keadaan ekonomi, dan tahap kerjasama antara parti dalam kerajaan negeri. Dalam ketiga-tiga aspek ini, kerajaan negeri sepanjang pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mempunyai naratif yang kukuh untuk ditawarkan kepada pengundi.

Dari sudut ekonomi, pencapaian hasil negeri yang meningkat kepada RM785 juta pada 2025, bersamaan peningkatan 86 peratus dalam tempoh tujuh tahun, dan peralihan kepada lebihan belanjawan selama empat tahun berturut-turut, memberi asas yang kukuh untuk hujah kesinambungan. Kedudukan kewangan yang lebih kukuh memberi ruang kepada kerajaan negeri melaksanakan lebih banyak program kebajikan dan menaik taraf kemudahan awam.
Bagi pengundi yang mahu melihat kestabilan dan pertumbuhan berterusan, mengekalkan kepimpinan yang telah membawa hasil positif dan menjaga kebajikan rakyat adalah pilihan yang logik dan rasional. Dalam konteks ini, Anthony Loke sebagai sebahagian daripada kepimpinan PH yang menyumbang kepada kestabilan kerajaan negeri mempunyai kelebihan naratif yang jelas dan boleh dibuktikan.
Negeri Sembilan memang lebih kompetitif berbanding negeri lain, dengan banyak kerusi diputuskan oleh majoriti kecil. Mempertahankan Chennah akan menyampaikan mesej yang kuat bahawa politik berasaskan prestasi, bersifat inklusif, dan hubungan rentas kaum masih dihargai oleh pengundi Negeri Sembilan.
Lebih penting lagi, kejayaan di Chennah akan mengukuhkan model politik yang sihat untuk Malaysia, bahawa sokongan rentas kaum boleh dibina melalui kerja berterusan, dan pengundi menghargai kesinambungan apabila ia disertai dengan rekod tadbir urus kerajaan negeri yang cemerlang.
Di luar persaingan di Chennah, keputusan PRN Negeri Sembilan juga mempunyai dimensi politik nasional. Sekiranya kerjasama BN-PN berjaya menghasilkan kemenangan besar di Negeri Sembilan, kemenangan itu berkemungkinan akan dijadikan hujah oleh sebahagian kepimpinan BN bahawa formula kerjasama tersebut mempunyai daya tarikan kepada pengundi dan wajar diterjemahkan ke peringkat Persekutuan. Naratif sedemikian boleh mengukuhkan desakan dalam kalangan pihak tertentu supaya Parlimen dibubarkan lebih awal ketika Kerajaan Persekutuan sedang berusaha mendepani krisis geopolitik dan tenaga global yang masih berlarutan.
Kesimpulannya, dalam konteks kerjasama BN-PN mengelubungi PRN Negeri Sembilan, pertembungan di Chennah adalah kompetitif dan dinamik. Chennah ialah ujian terhadap kekuatan kesinambungan yang disokong oleh rekod yang terbukti.
Pada akhirnya, Chennah menjadi petunjuk arah masa depan politik Malaysia. Ia memperlihatkan pilihan antara dua pendekatan politik — satu yang menekankan perwakilan yang inklusif, tadbir urus yang berkesan, serta penyampaian perkhidmatan yang terbukti, atau satu lagi yang cuba membina kekuatan melalui penjajaran semula politik?
OOI HENG seorang pemerhati politik dan merupakan pegawai tugas-tugas Khas di Kementerian Pengakutan. Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak mencerminkan pendirian rasmi mana-mana entiti yang berkaitan dengannya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malayusiakini.
