Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persefahaman politik tak ubah pendirian BN tolak politik perkauman - Zambry
Diterbitkan:  Jul 26, 2026 12:08 PM
Dikemaskini: 4:08 AM

BN tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman atau mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum di Malaysia, tegas Setiausaha Agungnya, Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata BN menolak golongan yang membina tembok perkauman dan meniupkan politik ketakutan yang mengundang curiga, prasangka serta kebencian.

"Barisan Nasional ingin menegaskan bahawa persefahaman dan kerjasama politik yang diwujudkan dalam pilihan raya Negeri Sembilan tidak sekali-kali bermaksud BN akan menggadaikan prinsip perjuangannya atau menerima naratif politik mana-mana pihak.

"BN kekal berdiri atas prinsip sendiri," tegasnya dalam kenyataan.

Kenyataan Zambry dipercayai merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ketika berkempen di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN ketika berceramah di Jempol, menyebut bahawa orang Melayu tidak mempunyai tanah air lain selain Malaysia berbanding kaum-kaum lain.

“Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu (Malaysia) ini saja.

“Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand.

"Melayu di mana? Melayu di sini saja," kata Sanusi di hadapan lebih 300 hadirin.

Kenyataan itu mendapat kritikan daripada Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi yang menasihati Sanusi supaya lebih berhati-hati ketika berucap.

Malah, Zahid meminta Sanusi supaya "buat cara mahu berkawan" dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Zahid, kenyataan berkenaan mungkin sesuai dalam konteks Kedah yang ditadbir Sanusi, tetapi tidak dalam suasana masyarakat berbilang kaum di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun Sanusi mendakwa kenyataannya telah diputar belit dan mengatakan akan membuat laporan polis terhadap pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya.

Pemimpin PAS itu juga mengancam akan mengambil tindakan undang-undang termasuk saman terhadap mana-mana individu atau pihak yang sengaja memutar belit kenyataannya bagi kepentingan politik.

Mengulas lanjut, Zambry berkata BN sebagai gabungan politik pelbagai kaum telah membuktikan selama lebih enam dekad bahawa Malaysia mampu dibangunkan berasaskan perkongsian kuasa, sikap saling menghormati dan kesederhanaan.

"Rekod inilah yang menjadi kekuatan BN dalam memelihara kestabilan, keharmonian dan kemajuan negara.

"Sehubungan itu, BN menolak dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman, mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia atau menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

"Selepas hampir tujuh dekad merdeka, politik yang memecah-belahkan rakyat mengikut asal usul kaum tidak mempunyai tempat dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS