mk-logo
Berita
Pelantikan MB: Orang 'luar' dah masuk arena adat, kata Rais
Diterbitkan:  Aug 3, 2026 11:49 AM
Dikemaskini: 4:06 AM
1

Tidak lama selepas pelantikan menteri besar baru Negeri Sembilan selesai, sudah muncul semula bayang-bayang bahawa konflik di negeri itu belum boleh dianggap selesai sepenuhnya.

Malam tadi Pengerusi Wawasan Negeri Sembilan, Rais Yatim, muncul di dunia maya dan mempersoalkan urusan pelantikan berkenaan.

Dia yang juga bekas menteri kanan Umno melontarkan beberapa persoalan di sebalik pemilihan Adun Juasseh, Ismail Lasim, termasuk mendakwa wujudnya campur tangan dari “luar” dalam urusan adat dan perlembagaan Negeri Sembilan.

Menurut Rais, kedudukan yang dipersoalkan ialah pertemuan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebelum itu dan ia tidak diperincikan kepada media.

Ismail Lasim (tengah) selepas mengangkat sumpah jawatan semalam

“Apakah yang dibincangkan yang menyebabkan seseorang luaran masuk ke dalam arena adat dan perlembagaan Negeri Sembilan sehingga mencaturkan kedudukan seperti yang diketahui oleh umum pada hari ini (semalam)?

“Seharusnya keadaan dalam Negeri Sembilan dari segi adatnya orang luar tidak boleh campur, tetapi ini sudah berlaku, dan dengan itu pula diketahui pada hari ini bahawa seseorang yang tidak disangka-sangka telah dilantik sebagai menteri besar,” katanya.

Rais turut mengaitkan pelantikan Ketua Umno Kuala Piliah itu menjadi menteri besar dengan restu Undang di Negeri Sembilan.

“Dalam soal yang sedemikian, adakah Undang Yang Empat bersetuju? Adakah Undang Yang Empat diperhitungkan?

“Setahu saya tidak ada. Bagaimana boleh perlantikan itu berlaku? Wallahualam,” katanya.

Rakaman video yang tular di media sosial sejak malam tadi.

Ke mana adat selepas ini

Semalam Ismail, 67, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti.

Antara yang dilaporkan hadir pada istiadat itu ialah bekas speaker DUN, MK Ibrahim Abd Rahman, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan serta Adun BN-PN lain.

Ismail yang juga anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno tidak pernah kalah dalam pilihan raya sejak pertama kali bertanding di kerusi DUN Senaling pada 1999.

Sementara itu Rais menyifatkan dalam keadaan pelantikan tersebut, berlaku “keciciran membalas budi” pemimpin tertentu dari Umno yang bertungkus-lumus sebelum ini.

Jalaluddin Alias

Katanya, pemilihan Ismail menunjukkan jasa Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, tidak dihargai, sedangkan sepatutnya ia diambil kira.

Ia dipercayai merujuk kepada gerakan yang dimulakan oleh Jalaluddin sebelum ini sehingga membawa kepada tindakan menteri besar terdahulu – dari PH – Aminuddin Harun, memohon perkenan Tuanku Muhriz membubarkan DUN Negeri Sembilan.

Krisis itu didakwa ada kaitan dengan kontroversi yang melibatkan istana.

“Jika ini terus berlaku, adat di Negeri Sembilan ini ditentukan oleh orang luar, bukan oleh sanak yang berada di Negeri Sembilan atau termaktub dalam lopaknya yang berpadi dan sawahnya yang telah berhabuan.

“Dalam hal ini juga boleh dikatakan tidak ada ruang seperti duriannya yang berbau baik. Tiada sesuatu padi yang berada di lopaknya yang boleh dituai.

“Ke manakah adat Negeri Sembilan selepas ini? Setiap orang yang bernama warga Negeri Sembilan harus menjawabnya.

Rogo (Harga) adat kita tinggi lebih daripada omeh (emas). Dan dikatakan bak baju Melayu butang nan tiga.

“Orang Melayu mesti waspada apabila habis sesuatu hilanglah kuasa,” tambah Rais bermadah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS