PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan mendedahkan sebanyak RM6 bilion wang dikeluarkan pendeposit dalam tempoh pendek ekoran krisis keyakinan melanda Lembaga Tabung Haji (TH).
Kata Zulkifli itu adalah antara sebab mengapa laporan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH itu tidak didedahkan terus sebaliknya keranaan memberi ruang kepada institusi terbabit melaksakan pemulihan terlebih dahulu.
Menurutnya, walaupun penambahbaikan melalui pelan pemulihan dibuat sejak 2018, TH masih perlu menguruskan aset-aset legasi yang kurang berdaya saing dan masih kekal di TH.
"Pada 2019 berlaku krisis keyakinan dan sekitar RM6 bilion dikeluarkan oleh pendeposit dalam tempoh yang singkat.
"Itulah sejarahnya, dalam hal ini kerajaan Madani memilihi untuk memberikan ruang kepada TH terlebih dulu memulihkan institusi berkenaan.
"Hari ini apabila kedudukan TH jauh lebih kukuh, kita (kerajaan) memilih untuk membuka laporan RCI kepada rakyat.
"Alhamdulillah kerajaan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengrusan TH dan semua pihak yang telah berjaya memulihkan TH dengan cemerlang," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Dewan Negara itu berkata demikian pada sesi penggulungan sidang khas parlimen terkait dapatan RCI TH sebagai menjawab persoalan yang dilontarkan oleh beberapa ahli parlimen yang mempersoalkan kelambatan RCI itu didedahkan kepada umum.
Siasat, perkukuh undang-undang
Pada sidang khas yang berlangsung hari ini, seramai 39 wakil rakyat mewakili pelbagai parti - kecuali PAS dan Wawasan - mengambil bahagian pada sesi perbahasan.
Ahli-ahli parlimen PAS dan Wawasan memilih untuk memboikot sidang tersebut atas alasan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tidak hadir untuk membentangkannya.
Dalam perkembangan sama, menjawab isu audit forensik dan cadangan diwujudkan pasukan petugas khas rentas agensi, Zulkifli menjelaskan, audit forensik telah pun dijalankan ke atas pelaburan-pelaburan yang disenaraikan dalam laporan RCI.
Tambah Zulkifli, pihaknya juga menyambut baik dan akan meneliti untuk pelaksanaan cadangan mewujudkan pasukan petugas khas rentas agensi bagi menyiasat setiap pelaburan yang berisiko mengalami kerugian.
"Kerajaan memandang serius segala salah laku dan penyelewengan.
"SPRM dan PRDM telah memulakan siasatan serta tindakan penguatkuasaan manakala TH memberikan kerjasama penuh melalui enam laporan kepada PDRM dan enam laporan kepada SPRM.
"Cadangan taskforce forensik khas dan ketersediaan bajet akan diteliti oleh pihak yang berkaitan untuk dipertimbangkan," katanya.

Sementara itu, Zulkifli menambah, kerajaan juga sedang memperkukuh Akta Tabung Haji 1995 termasuk berkaitan aspek peruntukan berkaitan piawaian perakaunan dan penalti bagi salah lapor penyata kewangan.
"Sejak 2022, agihan keuntungan TH diumumkan berdasarkan penyata kewangan tahunan yang diaudit.
"Selain itu, task force melibatkan TH, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti sedang meneliti kerangka pengawasan pengurusan dana dan pelaburan TH.
"Keseluruhannya, tindakan kerajaan adalah jelas iaitu menyiasat, mengambil tindakan penguatkuasaan, memulihkan aset serta memperkukuh undang-undang dan tadbir urus bagi memastikan amanah serta kepentingan pendeposit TH terus terjamin," kata Zulkifli.
