Serangan terbaharu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, terhadap DAP dalam ruangan “Minda Presiden” menarik bidasan keras daripada pemimpin Melayu parti itu yang menuduhnya menyemai kebencian serta mempersoalkan mengapa PAS pernah bekerjasama dengan DAP sebelum ini.
Dalam kenyataan bersama, empat pemimpin DAP itu turut merumuskan bahawa Hadi tidak menghasilkan artikel berilmiah, sebaliknya mengeksploitasi Islam demi kepentingan politiknya.

“Ketika kita menghampiri sambutan Hari Kebangsaan ke-69, amat dikesali jika seorang pemimpin politik memilih bahasa yang boleh memecahbelahkan rakyat.
“Apa yang sepatutnya kita pertahankan ialah Malaysia yang mempertahankan Perlembagaan, menghormati Islam sebagai agama Persekutuan, memelihara hak semua rakyat dan membina perpaduan dalam kepelbagaian, bukannya politik ketakutan dan perpecahan,” kata mereka.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Naib Pengerusi DAP merangkap Anggota Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, Anggota Parlimen Banting, Young Syefura Othman, Anggota Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, dan Senator Sheikh Umar Bagharib Ali.
Pemimpin berkenaan menegaskan bahawa DAP sentiasa menjunjungi Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

“DAP juga menghormati prinsip demokrasi berparlimen, kebebasan beragama, kepentingan sah semua kaum, serta hak warga untuk bercakap, belajar dan mengajar dalam bahasa ibunda masing-masing.
“Semua prinsip ini wujud dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan menjadi asas kepada Malaysia sebagai masyarakat majmuk,” tambah mereka.
Keempat-empat mereka menjelaskan bahawa DAP, yang kini berusia 60 tahun, menyertai pilihan raya dan beroperasi secara sah di bawah kerangka Perlembagaan dan undang-undang negara, sama ada sebagai pembangkang mahupun sebahagian daripada kerajaan.
Merujuk kepada slogan “Malaysia untuk rakyat Malaysia” yang sering dibangkitkan oleh Hadi, pemimpin berkenaan berkata ia berteraskan prinsip kesamarataan yang dimaktubkan dalam Perkara 8, tanpa menolak atau mempertanyakan peruntukan lain dalam Perlembagaan, termasuk Perkara 153.
Perkara 8 menetapkan jaminan perlembagaan mengenai kesamarataan. Perkara 8(1) memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Perkara 8(2) menetapkan bahawa tidak boleh ada diskriminasi terhadap rakyat atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan jawatan atau pekerjaan di bawah pihak berkuasa awam.
Sementara itu, Perkara 153 Perlembagaan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak, di samping memelihara kepentingan sah kaum-kaum lain.
Hubungan DAP-PAS masa lalu
Empat pemimpin DAP itu turut menuntut penjelasan daripada Hadi tentang mengapa pendirian yang sama tidak pernah menjadi halangan sewaktu PAS dan DAP bekerjasama di bawah Pakatan Rakyat, termasuk bertanding bersama dalam beberapa pilihan raya.
Tegas mereka, serangan Hadi terhadap DAP tidak sepatutnya digunakan untuk menutup sejarah politik PAS, sambil menambah bahawa perbezaan politik tidak sepatutnya diterjemah menjadi tuduhan bahawa pihak di luar PAS sebagai tidak Islamik, tidak patriotik atau tidak menghormati Perlembagaan.

“Politik Malaysia sepatutnya bergerak ke hadapan menerusi hujah dan dasar, bukannya dengan menyemai ketakutan terhadap kaum dan agama lain,” kata mereka.
Keempat-empat mereka juga mengingatkan Hadi tentang amanatnya yang disampaikan pada 1981, yang sekian lama menjadi bahan perdebatan kerana kesannya terhadap perpecahan sosial dan budaya mengkafirkan pihak lain oleh PAS.
Khamis lalu, Anggota Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok, meluahkan rasa sedih selepas Hadi menuduh parti itu mengagungkan Parti Komunis Malaya (PKM) dan mendakwa cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar merupakan strategi untuk mengusir orang Melayu yang miskin.
“Saya fikir, akhir-akhir ini dia banyak membuat kenyataan berunsur perkauman dan tidak berasas, termasuk mendakwa DAP mengagungkan PKM,” katanya.
“Kita adalah Parti Tindakan Demokratik; mengapa pula kita mahu mengagungkan parti yang langsung tidak membantu kita?

“Saya tidak tahu apa agendanya, atau sama ada kenyataan ini dapat membantu PAS mendapatkan lebih banyak undi dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi kenyataan sedemikian hanya akan memecahbelahkan Malaysia dan berdepan lebih banyak penentangan,” katanya.
