ULASAN | Umat Islam hari ini sedang diuji bukan sekadar oleh kezaliman rejim Zionis Israel dan tekanan dasar Amerika Syarikat(AS), tetapi oleh penyakit hipokrit dan pengecut yang berakar umbi dalam kalangan pemimpin serta sebahagian agamawan.

Merek berselindung di sebalik retorika kosong dan laungan slogan yang meleret-leret untuk menutup kegagalan mentaliti yang lumpuh dan mandom.

Hakikatnya segelintir dari golongan ini tidak menyenangi realiti yang ditunjukkan oleh Republik Islam Iran yang telah memecahkan ilusi bahawa AS dan Israel adalah dewa kebal yang tidak boleh disentuh.

Di saat Tehran berani menanggung risiko berdepan peluru berpandu dan konfrontasi perang secara langsung, sebahagian besar dunia Islam kekal di zon selesa, membisu seribu bahasa di bawah telunjuk kuasa besar.

Keberanian Iran berdiri teguh berhadapan dua kuasa besar dunia ini benar-benar mencengangkan mata dunia.

Malah, yang lebih tragis, ada dalam kalangan pemimpin negara Islam sendiri seolah-olah tidak senang dan gementar apabila melihat Iran berupaya mencabar hegemoni barat dan Israel.

Lebih memualkan, tenaga sesetengah negara Islam ini tidak digunakan untuk melawan penindas, sebaliknya dihabiskan untuk ‘menghiris’ saudara seagama sendiri.

Mereka begitu ghairah melabel mazhab lain sebagai sesat, kafir, dan sesuka hati menghukum akidah orang lain, seolah-olah perpecahan umat adalah keutamaan tertinggi mereka.

Namun, keberanian palsu itu serta-merta meruap apabila berdepan dengan ancaman imperialis sebenar.

Ceramah yang berapi-api, mesyuarat tergempar yang tidak berkesudahan, dan resolusi kecaman yang sekadar menjadi hiasan atas kertas, tetapi kosong tanpa sebarang tindakan fizikal yang berimpak.

Ironi ini terlalu pahit untuk ditelan oleh mereka yang selama ini hidup menikus di bawah bayang-bayang ketakutan.

Apabila tiba detik penentuan untuk bertindak, segala laungan jihad dan maruah lebur menjadi kebisuan yang memalukan, membuktikan bahawa retorika sesetengah pihak hanyalah wayang untuk menutup sifat penakut mereka.

Iran mungkin jauh daripada kesempurnaan, tetapi ia telah mencarikkan topeng kemunafikan dunia Islam kontemporari.

Keberanian Iran bertindak telah mendedahkan kebenaran yang paling menyakitkan: bahawa ramai yang sebenarnya lebih senang hidup dalam ketundukan dan delusi "ketidakmampuan", asalkan kedudukan dan jawatan peribadi mereka terus terpelihara.


ABDUL HALIM ABDUL RAHMAN merupakan pemerhati geopolitik Asia Barat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.