Keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal bimbang peluang menemui orang tersayang mereka dalam keadaan hidup semakin tipis apabila operasi mencari dan menyelamat memasuki hari ke-11.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (Masfih), R Manivannan berkata kumpulan itu memahami kelewatan penugasan pasukan penyelamat sebahagiannya disebabkan keperluan mendapatkan kelulusan kerajaan Nepal.

Bagaimanapun, katanya, keluarga mangsa masih amat sedih, kecewa dan bimbang kerana Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) hanya akan dihantar pada hari ke-11, sambil menegaskan setiap hari yang berlalu mengurangkan peluang menemukan mangsa terselamat.

“Kami berharap pasukan SMART akan menggunakan segala maklumat yang dikumpulkan keluarga sejak hari pertama, termasuk gambar, video, koordinat GPS, rekod komunikasi dan maklumat mengenai lokasi terakhir mangsa diketahui berada, bagi menjalankan pencarian seluas mungkin.

“Pada masa sama, keluarga percaya operasi kini perlu dilaksanakan serentak di dua medan: mencari mereka yang mungkin masih hidup dan mengenal pasti mereka yang telah meninggal dunia,” kata Manivannan kepada Malaysiakini.

Manivannan berkata, selepas 11 hari berlalu, pasukan forensik dan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) perlu dihantar tanpa berlengah lagi, sambil menggesa pihak berkuasa mempercepat proses pengumpulan dan pemadanan DNA.

Singapura, Jepun tingkatkan bantuan

Manivannan berkata Singapura dan Jepun turut menggerakkan kepakaran khusus bagi membantu mengenal pasti mangsa di Nepal.

“Harapan kami sangat mudah. Jika mereka masih hidup, cari dan bawa mereka pulang. Jika mereka telah meninggal dunia, temukan mereka, kenal pasti mereka dan bawa mereka pulang dengan penuh maruah.

“Satu lagi persoalan yang sangat dekat di hati saya sebagai anggota keluarga ialah: Adakah pasukan SMART akan memberikan tumpuan kepada kawasan pusat bencana?

“Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan keluarga, kami percaya sekurang-kurangnya 50 rakyat Malaysia yang masih hilang berada di kawasan pusat bencana atau sekitarnya ketika kejadian berlaku,” kata Manivannan.

Adik perempuan Manivannan, R Komathi antara mereka yang masih belum ditemukan susulan banjir bak tsunami dan aliran lumpur maut yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet sehingga mengorbankan lebih 1,300 orang, manakala ribuan lagi masih hilang.

“Apa yang agak mengecewakan ialah sehingga hari kesembilan, kami dimaklumkan kerajaan masih berusaha mendapatkan lokasi terakhir mangsa diketahui berada melalui syarikat telekomunikasi Nepal, sedangkan keluarga sudah mempunyai maklumat lokasi, gambar, video dan koordinat GPS sejak hari pertama,” kata Manivannan.

Dia turut mendakwa tiada sesiapa mendekati keluarga rakyat Malaysia yang hilang untuk mengumpulkan dan mengesahkan maklumat itu, selain pertanyaan ringkas oleh pihak polis ketika sampel DNA diambil.

“Jadi, soalan saya mudah. Apabila pasukan SMART tiba di Nepal, adakah mereka akan segera memberikan tumpuan kepada kawasan pusat bencana berdasarkan segala maklumat yang sudah tersedia, atau mereka masih akan menghabiskan masa menentukan lokasi terakhir mangsa diketahui berada?

“Bagi keluarga, setiap jam sangat berharga,” tambahnya.

Manivannan berkata proses pengumpulan sampel DNA daripada waris kini memasuki fasa akhir, dengan 52 sampel berjaya diperoleh setakat Khamis.

[Baca berita asal]