mk-logo
Berita
MB T'ganu: Calon lain atau pilihanraya semula
Diterbitkan:  Mar 23, 2008 2:41 PM
Dikemaskini: Mar 24, 2008 1:39 PM

kemaskini 1:45am Datuk Ahmad Said, yang mendapat perkenan istana untuk jawatan menteri besar baru Terengganu, mempunyai masa selama 90 hari untuk menjalankan tugasnya sebelum memanggil persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata pakar perlembagaan.

Jika DUN bersidang, beliau berdepan usul undi tidak percaya daripada majoriti wakil BN seperti diumumkan semalam.

Bagaimanapun tempoh 90 hari itu membolehkan wakil rakyat Kijal, dan juga ketua bahagian Umno, itu menguatkan kedudukannya.

Beliau, yang bakal dilucutkan secara rasmi keanggotaan Umno, boleh juga memanggil pilihanraya negeri untuk mengesahkan mandat baru, kata pensyarah undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) profesor Dr Shad Saleem Faruqi dalam beberapa laporan media.

Sementara Dr Aziz Bari, profesor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), pilihanraya negeri masih boleh dibuat oleh istana walaupun negeri itu kini tiada kerajaan.

“Kuasa ini boleh digunakan dalam keadaan-keadaan luar biasa dan tidak terelakkan bagi menghalang suasana tidak menenetu di negeri itu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Saya fikir keadaan sukar di Terengganu sekarang termasuk dalam satu daripada keadaan-keadaan luar biasa yang melayakkan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) membubarkan Dewan Undangan Negeri."

Jika pilihan ini tidak diambil, kedua-dua ahli akademik itu bersetuju MPPR harus melantik seseorang yang mendapat sokongan majotiti wakil-wakil rakyat.

Dr Shad Saleem menyatakan, walaupun Sultan mempunyai budi bicara untuk melantik seseorang wakil rakyat tetapi keputusannya melantik Ahmad, yang tidak mendapat dukungan sesiapa, boleh dipertikaikan.

“Sultan mempunyai kuasa menggunakan budi bicaranya tetapi kuasa ini tidak mutlak. Sultan tidak tertakluk untuk mendapat nasihat daripada bahagian-bahagian Umno negeri itu atau kerajaan Persekutuan, tetapi Baginda harus mendengar nasihat Dewan Undangan Negeri,” beliau dipetik sebagai berkata kepada Star Online hari ini.

Dr Aziz bagaimanapun berhujah, pelantikan Ahmad masih lagi sah dan menganggap majlis mengangkat sumpah sekadar upacara rasmi sahaja.

“Majlis angkat sumpah dan acara-acara berkaitan, pada pandangan saya, hanya untuk menunjukkan keputusan istana,” katanya.

“Semua tindakan termasuk bantahan dan niat memulaukan majlis itu nanti (ada laporan menyebut diadakan Rabu ini) dan pemecatan Ahmad daripada Umno tidak akan membawa kesan terhadap keputusan istana.

“Dari segi perundangan keputusan istana masih mengikat. Tetapi istana tentunya boleh juga menarik balik pelantikan tersebut," tambahnya.

Terkini : Setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid menafikan kenyataan timbalan pengerusi badan itu Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang menyatakan tujuh daripada lapan bahagian menolak pelantikan semula Datuk Seri Idris Jusoh.

Dalam sidang media lewat malam ini di Kuala Lumpur, lapor Bernama , Rosol mendedahkan ketua-ketua bahagian Kuala Terengganu, Setiu dan Kuala Nerus menyokong Idris, yang juga ketua bahagian Besut.

Kenyataan itu bermakna empat lagi bahagian, termasuk Kemaman yang diketuai bakal menteri besar Datuk Ahmad Said, menolak Idris.

Ketua-ketua bahagian Dungun, Marang dan Hulu Terengganu bermasalah dengan Idris apabila ketiga-tiga mereka tidak dilantik semula mempertahankan kerusi parlimen masing-masing dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Selain mengulangi kenyataan sokongan 23 wakil rakyat BN kepada Idris, Rosol turut menyatakan kesediaan mereka melepaskan jawatan itu untuk membolehkan pilihanraya negeri diadakan - jika Ahmad tetap dilantik menteri besar.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini