Wakil rakyat PAS makin pulih
Wakil rakyat PAS di Kelantan, Chek Hashim Sulaima, kini dipindahkan ke wad biasa dari unit rawatan rapi (ICU) selepas cedera parah dalam kemalangan dua minggu lalu.
Menurut Harakahdaily.net hari ini, kesihatan beliau makin pulih sepenuhnya dan kemungkinan dibenarkan pulang dalam masa terdekat.
Beliau, bersama isteri Aida Zakaria dan anak bongsunya Amsha, cedera di dada selepas kereta yang dipandunya terbabas ke dalam longkang di Km 36, Ciku 2 jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas cedera teruk di bahagian tulang rusuk akibat rempuhan kuat yang menyebabkan sukar bernafas, laporan itu dipetik.
Kemalangan 21 Mac itu menyebabkan Aida cedera agak parah di bahagian kepala, patah tangan dan kaki kanan.
Dua lagi anak mereka Najilah, 12 dan Nadiah, 10 hanya mengalami kecederaan ringan pada kejadian tersebut.
Che Hashim menewaskan penyandang Mohamad Saufi Deraman dengan kelebihan 646 undi di kerusi DUN itu dalam kawasan parlimen Gua Musang.
Mohamad Saufi menguasai kerusi negeri itu sejak 1999 dengan majoriti 2,264 undi dan 1,729 undi pada pilihanraya 2004.

