Liputan Utusan Malaysia yang menyebutkan Istana Kelantan menarik darjah kebesaran dua anggota majlis mesyuarat (exco) kerajaan negeri itu akibat isu permohonan tanah diadukan kepada polis semalam.

Wan Md Mokhtar Wan Abdul Rahman, seorang peniaga, menggesa polis menyiasat laporan akhbar itu bertarikh 25 Januari lalu bertajuk 'Sultan Kelantan tarik balik darjah kebesaran dua Exco.'

Wan Md Mokhtar membuat aduan itu di balai polis Kota Bharu dengan diiringi 25 orang.

"Dalam berita tersebut, ada dikaitkan punca penarikan (pingat) dengan permohonan tanah oleh Sultan,'' kata Wan Mokhtar kepada akhbar selepas aduannya. "Kami memutuskan bahawa berita yang dipaparkan dalam Utusan Malaysia itu bertujuan untuk memanaskan keadaan (politik)."

Menurutnya, mereka mengambil keputusan itu selepas beberapa laporan akhbar yang menyebutkan Sultan Kelantan tidak pernah membuat permohonan tanah.

Sebagai rakyat Kelantan, dia berasa sedih atas tuduhan bahawa Sultan telah memohon tanah negeri, katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Siswazah Kelantan Mohd Adilan Mat Jusoh, menggesa Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan kandungan penuh jawapan bertulis yang dihantar kepada Istana.

Isnin lalu, pihak istana mengirim sepucuk surat kepada Nik Aziz dan memintanya menjawab secara bertulis soalan berikut: "Adakah pernah pada bila-bila masa sebelum 7 Januari 2001, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al Sultan di atas batang tubuh baginda memohon kepada YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar selaku Menteri Besar atau kepada mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang lain, mendapat tanah di bawah 'The Sultanate Land' (tanah kesultanan)."

Nik Aziz menjawab "tidak", seperti disiarkan tiga hari lalu dalam akhbar tempatan. Bagaimanapun, setiausaha politiknya kemudian menjelaskan bahawa sebahagian sahaja isi kandungan surat jawapan Nik Aziz itu dipetik pihak istana dalam kenyataan medianya.

"Kami berpendapat bahawa rakyat mempunyai hak untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya. Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga tidak patut tunduk kepada sebarang tekanan daripada mana-mana pihak dalam soal tanah negeri," kata Mohd Adilan.

Beliau juga menggesa siasatan dijalankan untuk mengenal pasti "dalang" yang menggunakan nama Istana untuk memohon tanah, sama ada untuk politik atau peribadi.