BERITA

Keluarga Anwar kuasai syarikat S'gor?

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Jun 2008, 11:56 tengahari

kemaskini 5:32pm Mohamad Ezam Mohd Nor mendakwa ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim baru dilantik sebagai penasihat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), sebuah syarikat besar milik kerajaan Selangor.

Bekas setiausaha Anwar itu berkata pelantikan itu dibuat "beberapa minggu, bulan lalu".

"Apakah betul ada ahli keluarga Anwar Ibrahim yang dilantik menjadi penasihat KDEB?

"Saya mahu penjelasan mereka sebelum saya membuat kenyataan lanjut," kata bekas pemimpin kanan PKR itu kepada media selepas ceramah 'Sirih Pulang ke Gagang'.

"KDEB, saya nak tunggu penjelasan daripada pengerusi KDEB dulu. Hari ini saya lontarkan soalan, saya nak minta penjelasan daripada mereka."

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama "ahli keluarga Anwar" itu atau hubungan kekeluargaan individu berkenaan dengan bekas timbalan perdana menteri itu.

Sumber-sumber PKR lewat petang ini memberitahu, saudara kandung Anwar sendiri yang dimaksudkan oleh Mohamad Ezam tetapi adik bekas ketuanya itu telah meletakkan jawatan secara mengejut daripada KDEB semalam.

Sumber-sumber bagaimanapun tidak mengetahui jawatan atau tugas sebenar saudara Anwar di syarikat senaraian awam itu.

ezam interview 310508 5 Tambah bekas setiausaha politik Anwar itu, beliau menerima maklumat mengenai perkara tersebut baru-baru ini.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksi presiden KDEB Datuk Abdul Karim Munisar.

Difahamkan beliau sedang menghadiri satu mesyuarat lembaga pengarah dan kemungkinan mengambil masa yang panjang.

Mohamad Ezam sebelum itu membangkitkan hal yang sama dalam ceramahnya, antaranya bagi menjelaskan sebab beliau menyertai Umno, di Dataran Kamara, Sungai Besi, malam tadi.

Ceramah tersebut anjuran Umno Bandar Tun Razak dihadiri kira-kira 200 orang.

Dalam sidang media yang sama juga, Mohamad Ezam mendakwa Selangor telah menyalahgunaan kuasa dengan menggunakan kepala surat kerajaan negeri untuk mendapatkan dana yang kemudiannya disalurkan kepada PKR dan individu tertentu.

"Ia merupakan satu jenayah. Satu jenayah tidak boleh dimaafkan hanya dengan pengakuan dan komitmen untuk memulangkan balik wang tersebut," katanya, mengulas kesediaan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Isnin lepas.

"Proses undang-undang harus berjalan terus dan sehingga siasatan dan dakwaan dibuat."

Menjawab soalan wartawan mengenai dokumen yang dimilikinya berhubung isu kutipan dana sempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di negeri itu, beliau berkata:

"Kita hanya ada surat-surat yang dibuat atas nama kerajaan negeri, atas kepala surat kerajaan negeri kepada beberapa syarikat meminta supaya sumbangan diberi."

Badan Pencegah Rasuah (BPR) dilaporkan sedang menyiasat dakwaan pemindahan wang kerajaan itu ke akaun individu dalam PKR.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.