BERITA Malaysiakini

Presiden: 32 cawangan calon Ku Li

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Sebanyak 32 cawangan Umno dalam bahagian Gua Musang yang mengadakan mesyuarat tahunan semalam, sebulat suara meluluskan usul mencalonkan Ahli Parlimen dan Ketua Umno bahagian itu, Tengku Razaleigh Hamzah, bertanding jawatan presiden Umno Disember ini.

Ia terdiri daripada 17 cawangan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, sembilan cawangan dalam DUN Paloh dan enam cawangan dalam DUN Galas. Umno Bahagian Gua Musang mempunyai 116 cawangan.

Bagaimanapun, semua cawangan terbabit tidak mengusulkan sebarang nama bagi jawatan timbalan presiden Umno dan lain-lain jawatan kerana perkara itu terserah ahli ahli Umno di cawangan lain di seluruh negara.

Kesemua cawangan berkenaan juga mencalonkan supaya jawatan Ketua Umno bahagian dan Timbalan dikekalkan yang kini diterajui Tengku Razaleigh dan Mohamad Saufi Deraman manakala jawatan Naib Ketua dicalonkan, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Yusof Ab Ghani.

Sebelum ini, menurut laporan Bernama, jawatan naib ketua disandang oleh Pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohamad Hamzah dan Ketua Penerangan Umno Bahagian itu juga kekal diterajui, ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Sementara itu, semasa berucap merasmikan Persidangan Tahunan Umno Cawangan Kijang Bahagia, di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh Satu, semalam, Nozula mahu setiap anggota Umno menyokong usul untuk Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden Umno.

"Ini kerana kita mahu pemimpin dari Kelantan pula mengambil alih kepimpinan negara berikutan rakyat sudah hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya juga yakin, Ku Li yang menawarkan diri bertanding untuk merebut jawatan itu sudah mendapat restu ahli Umno peringkat akar umbi dan akan menempah sejarah kemenangannya nanti," katanya.

Beliau juga mahu anggota Umno bertanding secara sihat bagi jawatan tertentu yang mungkin dipertandingkan dalam bahagian Gua Musang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Kita kena ada etika supaya dapat mematuhi semula garis panduan pertandingan itu dan selepas pada itu perlu bersatu kembali demi kekuatan parti untuk orang Melayu," katanya.

Umno minta balik Tapah

Sementara itu di Tapah pula, Ketua Umno bahagian Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan bimbang kerusi Parlimen Tapah - yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) - mungkin terlepas ke tangan pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang, jika ia tidak dikembalikan kepada calon Umno.

Katanya, Umno telah menyerahkan kerusi berkenaan selama lima penggal kepada parti komponen sejak 1981 dan kini wujud desakan yang kuat dari akar umbi supaya ia dikembalikan kepada Umno.

"Ini bukan ugutan atau amaran tetapi saya cuma menzahirkan hasrat dan kehendak ahli-ahli parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan serentak mesyuarat cawangan Umno, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian berkenaan hari ini.

Samsudin berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai usul mendesak BN menyerahkan kerusi Parlimen Tapah kepada calon UMNO pada pilihan raya umum ke-13 yang sebulat suara dipersetujui 83 cawangan UMNO untuk dikemukakan kepada mesyuarat bahagian Oktober depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning itu berkata desakan itu lahir atas kekecewaan anggota UMNO yang telah dijanjikan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-12.

"Pada pilihan raya umum ke-12 tidak selesai juga isu penyerahan balik kerusi kepada UMNO...kita khuatir pada pilihan raya akan datang kawasan ini tidak lagi menjadi kubu BN," katanya.

Pada pilihan raya lepas, calon BN dari MIC Datuk M. Saravanan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan memenangi kerusi Parlimen Tapah dengan majoriti 3,020 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Seng Toh.

Samsudin berkata, kawasan Parlimen Tapah yang mempunyai kira-kira 40,000 pengundi adalah kawasan majoriti pengundi Melayu, sebanyak 51 peratus.

Selain DUN Ayer Kuning, satu lagi kerusi negeri iaitu Chenderiang diwakili oleh calon BN daripada MCA.

"Pengalaman dalam pilihanraya umum lalu amat berguna kepada kami, nasib baik Umno Bahagian Tapah sentiasa bersatu dan setia kepada BN, kalau tidak calon-calon kita mungkin kalah seperti di bahagian lain," katanya merujuk kepada prestasi buruk BN apabila terlepas Perak kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum.

Kluang: Md Jais tawar diri

Sementara itu, di Kluang pula, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Md Jais Sarday menawarkan diri untuk jawatan ketua Umno bahagian, selepas jawatan itu dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Gapar Gurrohu.

Md Jais, 41, yang juga Exco Penerangan, Belia dan Sukan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Mahkota, berkata pengalamannya bertugas di peringkat negeri serta pusat adalah aset yang penting kepada Umno bahagian.

Beliau adalah Exco Pergerakan Pemuda Umno dan bekas pegawai khas kepada Datuk Mohamed Khaled Nordin, ketika menjadi Menteri Pembangunan Usahawan.

"Dengan pengalaman yang diperoleh di peringkat pusat dan negeri, saya berkeyakinan jika dipilih (sebagai Ketua Umno Bahagian), maka sumbangan kepada Umno Bahagian Kluang dan orang Melayu khususnya akan menjadi lebih berkesan," katanya hari ini.

Beliau berpendapat jika jawatan Ketua Umno Bahagian dan Adun dipegang oleh individu yang sama, ia akan memudahkan lagi kesinambungan urusan untuk membangunkan daerah dan taraf ekonomi orang Melayu.

Md Jais merupakan ketua pemuda Umno bahagian selama dua penggal. Umno Bahagian Kluang mempunyai 67 buah cawangan.