'Umno usah sombong, menang dua PRN bukan jaminan menang selamanya'
PAU 2026 | Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani, hari ini memberi peringatan agar parti itu tidak berasa selesa selepas mencatat kejayaan besar dalam dua PRN sebelum ini, iaitu di Johor dan Negeri Sembilan.
Dia yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri berkata ahli dan penyokong parti itu perlu sentiasa bekerja keras dan merendah diri.
“Kita menang Johor dan kita menang di Negeri Sembilan, itu tidak bermakna kita adalah pemenang selamanya.
"Kita jangan sombong, kita terus bekerja, kita kena meyakinkan rakyat bahawa BN ini telah banyak benda yang kita dah belajar.
“Kita akan cuba memperbaiki segala kelemahan yang kita ada dalam BN untuk memastikan setiap calon kita apabila bertanding, mereka semua mesti ambil ini satu perkara yang sangat penting untuk memastikan bahawa parti, khususnya BN, akan terus mendapat kepercayaan daripada rakyat,” katanya kepada media.
Johari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pesanan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sempena sesi taklimat menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Umno (PAU) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam perkembangan sama Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said pula menyifatkan prestasi parti itu kini menjadi satu gelombang.
Namun apa yang lebih penting, jelasnya, ahli-ahli parti perlu mewujudkan penyatuan dan meletakkan fokus.
/file/attachments/orphans/pauv21_925648.jpg)
“Yang amat berhormat (Ahmad Zahid) pun menyebut tentang keputusan-keputusan parti ni, kita kena letaklah kepada pihak atasan parti, (soal) kerusi, rakan bersama pilihan raya dan kita pun mengakui negeri dengan pusat itu berlainanlah.
“Itu sajalah pesanan daripada dia dan saya harap sayap-sayap akan dapat cue (isyarat) daripada presiden dari segi ucapan beliau,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pengerang.
Sementara itu seorang lagi Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, berkata dia menyokong ucapan taklimat disampaikan Ahmad Zahid dan menyeru ahli Umno bersyukur atas kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Namun, katanya, kemenangan tersebut diharap tidak membuatkan mereka berasa selesa.
/file/attachments/orphans/pauv1ase2s_218775.jpg)
“Dan wajar untuk kita terus bangunkan parti, kuatkan parti, dan pastikan parti terus mendapat keyakinan daripada rakyat,” katanya ringkas.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Duduki pula memaklumkan Ahmad Zahid dalam taklimatnya memberikan garis-garis umum berkenaan hala tuju parti yang wajar dibincangkan oleh para perwakilan sepanjang PAU 2026.
“Yang paling mustahak sekali ialah hala tuju ini yang merupakan perkara yang menjadi asas dalam mana-mana PAU kerana dalam perlembagaan, platform yang tertinggi yang mempunyai kuasa menentukan apa juga bentuk kerjasama, hala tuju parti dalam menghadapi pilihan raya dan sebagainya adalah PAU.
“Kita berbalik kepada dulu pun waktu kita nak mewujudkan kerajaan perpaduan, kita kembali kepada platform yang kedua tertinggi ialah majlis kerja tertinggi.
“Tapi akhirnya mesti diabsahkan dalam PAU. Jadi semua itu adalah ketertiban dalam sistem pentadbiran dan pengoperasian Umno yang sudah berusia 80 tahun ini,” katanya.
/file/attachments/orphans/pauv21ddd_412742.jpg)
