'Jangan nak take saja give tak mahu, susah lagu tu'
Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan betapa rundingan kerusi dalam PRN Melaka dengan Umno-BN menjadi kunci kepada kerjasama seterusnya.
Malah dia menegaskan PRN Melaka merupakan ujian buat Umno dalam merealisasikan usaha kerjasama antara kedua-dua parti itu.
“Melaka jadi medan ujian untuk depa (mereka), saya dah cadangkan tempob hari tak bolehlah tengok Melaka sebagai medan nak runding dalam konteks kotak itu saja, bukalah kotak bagi luas, senang berunding.
“Saya harap benda (cadangan) itu diterima, kalau esok depa nak mai di sini, nak mai Kelantan, Terengganu tentulah depa pun nak kerusi. Jadi bukalah kerusi di Melaka.
“Kalau hangpa bagi empat kerusi di Melaka, mungkin negeri-negeri ini boleh bagi satu-satu kerusi, ganti balik empat tu (di Melaka).
“Kedah satu, Kelantan satu, Terengganu satu, Perlis satu bagi kat hangpa, ini contoh. Lagu tu lah saya kata besarkan kotak, lani nak rundingan Melaka saja, susahlah, (kena) besarkan,” katanya dalam satu sidang media di Alor Star, semalam.
Menteri besar Kedah itu berkata demikian sebagai mengulas mengenai proses rundingan kerusi di sebalik agenda perpaduan ummah yang dibawa PAS dan Umno.
Terdahulu Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mencadangkan kepada partinya supaya menguji keikhlasan PAS dengan mengadakan pilihan raya di Terengganu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/9aead12c690231e0c5373afbe7f4e972.jpg)
Selain itu Umno turut dilihat cenderung untuk bekerjasama dengan PAS sahaja, sebaliknya bukan dengan lain dalam Perikatan Nasional (PN).
Sanusi bagaimanapun menyifatkan cadangan itu sebagai tidak masuk akal bahkan katanya, Umno sendiri belum pernah memberikan sebarang kerusi kepada PAS.
Mengulas senario di Melaka, Adun Jeneri itu berkata terdapat 24 kerusi majoriti Melayu di bumi Hang Tuah itu dan 21 daripada disandang Umno-BN.
Kerusi Melayu ada 24 (Melaka), empat lagi siapa pun tak berani pi duduk depa kata comfirm itu DAP punya. Bolehlah nak lawan tapi susah nak menang.
“Yang boleh menang di 24 kerusi itu. BN ada 21 (penyandang), maknanya tiga saja boleh dibuka untuk orang lain.
“Bolehlah, tapi nak bagi lagi banyak (parti). Kalau bagi lagi empat, bolehlah bincang. Bukan suruh bagi setengah (daripada jumlah kerusi).
“Depa kata nak uji keikhlasan kita dengan buat PRN (Terengganu), itu tak masuk akal,” katanya lagi.
Mengambil contoh pada PRN Negeri Sembilan jelasnya, Umno tidak memberikan kerusi kepada PAS sebaliknya bertanding di kerusi yang disandang.
“Sebelum ini pun mereka tak bagi kerusi kat kita. Kita berunding, kita pakat lawan undi. Hang tanding situ, kami pakat undi hang, kami tanding sini hang pakat undi kami. Itu saja, takda bagi kerusi.
“Negeri Sembilan (Umno) tak bagi kerusi pada PAS, kita bertanding kerusi sedia ada, penyandang,” katanya yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN).
Itu menyempitkan ummah
Sanusi menjelaskan betapa formula ‘give and take’ perlu diamalkan dalam rundingan kerjasama antara PAS dan Umno.
Katanya, kedua-dua parti perlu melihat jalan terbaik untuk menjayakan perpaduan ummah.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/08/47486d198643b67639fb268b372738f0.jpg)
“Takpa tengoklah apa yang terbaik, perpaduan ummah wajib, berpecah itu haram. Jadi nak berpakat, boleh give and take, jangan nak ‘take’ saja ‘give’ tak mahu, susah lagu tu.
“Kita rasa perpaduan ummah ini kena melibatkan semua orang, jangan libatkan dua parti saja rugilah. Orang lain ada lagi, panggil depa mai semua.
“Ketetapan itu PAS pegang lama dah daripada Muafakat Nasional dulu melibatkan semua orang yang nakkan perpaduan ummah. Jangan melibatkan dua parti saja orang lain tak mahu, tak betul lagu tu. Itu menyempitkan ummah, susah nak buat keputusan,” ujarnya lagi.
Ditanya adakah PAS sanggup memberikan kerusinya kepada Umno, Sanusi menegaskan sekali lagi betapa rundingan perlu dibuka dengan konteks yang lebih luas.
“Sebab itu saya kata buka medan (rundingan) bagi luas, tempat kami tak ada hang bagi, tempat hang takdak kami bagi.
“Macam tu, takkan hang nak seorang. Hang tak mahu bagi tapi nak hak orang, macam mana tu,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/9ba12c3e1dc047d6095eaf2896ffb67b.jpg)
