Presiden PAS Abdul Hadi Awang sudah dirakam keterangan oleh pihak polis berhubung dakwaan parti itu pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan BN pada 2014.

Perkara itu disahkan setiausaha politiknya Syahir Sulaiman ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, keterangan ahli Parlimen Marang kepada pihak polis dibuat beberapa hari lepas di Kuala Lumpur.

“Difahamkan masih dalam proses siasatan, beberapa saksi turut dipanggil.

“Selanjutnya beliau serahkan kepada pihak polis. Tok guru (Abdul Hadi) tidak berhasrat untuk mengulas, bagi menghormati proses siasatan,” katanya, hari ini.

Terdahulu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata langkah itu bagi melengkapkan siasatan selepas polis menerima 12 laporan dan merakam keterangan 12 saksi berhubung isu tersebut.

“Rakaman percakapan YB Tan Sri Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang akan diambil dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Menurut Kumar, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kegusaran awam.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam ucapan penggulungan sempena Muktamar PAS ke-72 baru-baru ini, Abdul Hadi mendakwa tawaran tersebut dibuat ketika salah satu lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama, ke Malaysia.

Ketika itu, beberapa pemimpin PAS telah dijemput menghadiri satu acara di Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Kedua-dua lawatan Obama ke Malaysia pada 2014 dan 2015 berlaku ketika Najib Razak masih menjadi perdana menteri.

Najib kini dipenjarakan selepas disabitkan kesalahan pada 2020 atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta milik SRC International.

Abdul Hadi berkata perkara itu berlaku ketika PAS merupakan sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat.

Dia turut berkata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, dan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang ketika itu merupakan setiausaha politiknya, turut menghadiri acara berkenaan.

Abdul Hadi berkata dia menghadiri jemputan itu bersama bekas Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali.

Bagaimanapun Kedutaan AS menafikan dakwaan Abdul Hadi, bahawa wakil negara itu pernah menawarkan bantuan kepada parti Islam berkenaan untuk menjatuhkan kerajaan BN.

David H Gamble Jr, yang kini mengetuai Kedutaan AS di Kuala Lumpur, berkata negaranya tidak pernah mencuba untuk menentukan kepimpinan politik Malaysia.

Sebarang dakwaan sebaliknya adalah palsu, katanya.