Exco sanggah Sheikh Umar: Umno bukan anak syarikat DAP
Pemuda Umno membidas DAP Johor susulan kenyataan parti itu yang menggesa Ahmad Zahid Hamidi supaya meletak jawatan dari kerajaan serta mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggugurkan Presiden Umno berkenaan.
Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Hairi Mad Shah, bahkan mempersoalkan siapa yang memberi mandat kepada pemimpin DAP untuk menentukan siapa yang layak menjadi pempimpin Umno.
"Sejak bila pula pelantikan dan kedudukan pemimpin Umno perlu mendapat restu DAP?" katanya dalam kenyataan malam tadi.
Hairi yang juga Adun Larkin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, yang mengulas isu kemelut yang melanda kerajaan semalam.
Menurut Sheikh Umar, dalam keadaan sekarang yang sepatutnya meletakkan jawatan dalam kerajaan ialah Ahmad Zahid dan bukannya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Tambah Sheikh Umar, Ahmad Zahid - di sebalik kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri - mempertikaikan dasar kerajaan Madani sedangkan dia sendiri adalah sebahagian daripada anggota kabinet yang membuat dasar tersebut.
Ahmad Zahid juga, katanya, memalukan Anwar semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.
“Bagi saya, sepatutnya Ahmad Zahidlah yang letak jawatan, bukan Loke,” katanya.
Sheikh Umar turut mencadangkan Mohamed Khaled Nordin atau Johari Abdul Ghani - kedua-duanya adalah Naib Presiden Umno - sebagai calon yang boleh menggantikan Ahmad Zahid berdasarkan komitmen mereka menjaga reputasi kerajaan dan negara.
Hairi berkata kepimpinan Umno ditentukan sendiri oleh anggota parti melalui perlembagaan dan proses pemilihan, bukannya dalam mesyuarat dalam kalangan pemimpin pusat seperti DAP, atau melalui tekanan politik.
Bersama kerajaan hingga ke akhir penggal
Lebih menjengkelkan, kata Hairi, Sheikh Umar (gambar bawah) bukan sahaja mahu Ahmad Zahid berundur, malah sibuk menyusun nama pemimpin Umno yang dianggapnya lebih sesuai menjadi pengganti.
Langkah tersebut, menurut Hairi, bukan pandangan politik yang ikhlas sebaliknya cubaan secara terbuka untuk mencampuri, mengatur dan memecah-belahkan Umno.
"Jika benar dia begitu gemar menyediakan senarai pengganti, hantarlah senarai itu kepada partinya sendiri.
"Mungkin DAP perlukan penasihat tambahan untuk menyelesaikan masalah dalamannya. Namun, jangan sesekali menghantarnya ke Menara Dato’ Onn. Umno tidak pernah membuka tender kepada DAP untuk memilih presidennya," tambah Hairi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/f0218f69573e14346700918e5a54fa64.jpg)
Menurut exco Johor itu lagi, semasa berucap di PAU baru-baru ini, Ahmad Zahid memperkatakan kepentingan dan masa depan Umno dan itu memang tanggungjawab seorang presiden.
Tindakan itu, katanya, bukanlah satu kesalahan atau memerlukan kebenaran daripada DAP.
"Dalam ucapan yang sama, presiden turut menegaskan dengan jelas bahawa Umno akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal," katanya.
Dia juga menyatakan, Umno menyertai kerajaan sebagai sebuah parti yang mempunyai maruah, pendirian dan suara, bukannya parti yang diam, tunduk serta mengangguk kepada setiap kehendak DAP.
"Kerajaan Perpaduan dibina atas semangat permuafakatan dan saling menghormati, bukannya dominasi mana-mana parti terhadap parti yang lain," katanya.
Dia turut mendakwa Sheikh Umar cuba melaga-lagakan pemimpin Umno dengan mencadangkan bahawa sesetengah daripada mereka lebih komited atau layak untuk menggantikan Ahmad Zahid.
"Umno bukan anak syarikat DAP. Umno juga tidak memerlukan remote control daripada mana-mana pemimpin DAP.
"Kerjasama dalam kerajaan tidak memberikan lesen kepada DAP untuk menceroboh urusan dalaman rakan politiknya," tambah Hairi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/01/7c8f955d091aac42ac434430a23b9a24.jpg)
