Anwar patut pecat Zahid dari kabinet - Sheikh Umar
Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggugurkan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi daripada kabinet.
Dia berkata Zahid patut meletakkan jawatan daripada kabinet, bukannya Anthony Loke.
"Beliau memalukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Perhimpunan Agung Umno (baru-baru ini). Sedangkan beliau sendiri merupakan timbalannya.
“Beliau mempertikai polisi kerajaan. Pertikai Budi95. Sedangkan beliau dalam kabinet yang sama. Beliau buat keputusan sama-sama.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/80bbd9457abd1d1e46ce844ba2959200.jpg)
“Sewaktu banyak negara di dunia menghormati kepimpinan Anwar, Zahid memperlekeh dan memperbodohkan beliau.
“Bagi saya, sepatutnya Zahid yang letak jawatan. Bukan Anthony Loke Siew Fook,” katanya.
Sheikh Umar berkata Zahid boleh digantikan dengan pemimpin Umno lain seperti Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin atau Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.
“Atau Anwar lucutkan Zahid. Ganti dengan pemimpin Umno lain. Mungkin Khaled Nordin atau Johari Abdul Ghani.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/581d799e0ceaefde938b30023739ee3e.jpg)
“Mereka lebih komited jaga nama baik kerajaan dan negara.
“Itu kuasa Anwar,” katanya.
Malam tadi, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menawarkan untuk meletakkan jawatan daripada kabinet susulan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Bagaimanapun, menteri kabinet lain daripada DAP akan kekal dalam kerajaan.
Loke berkata hanya dia menawarkan diri untuk berundur bagi memastikan kerajaan pimpinan Anwar kekal stabil.
Cabaran terbuka
Semasa Perhimpunan Agung Umno pada 12 Sept, Zahid secara terbuka mencabar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya menyingkirkan Umno dari Putrajaya dan mengadakan pilihan raya mengejut.
Dalam ucapan penggulungannya, pengerusi BN itu membidas penyokong PH yang menggesa Umno meninggalkan kerajaan.
Dia turut mengingatkan mereka bahawa kerajaan berkenaan tidak akan berada di Putrajaya tanpa sokongan BN.
Zahid, yang juga presiden Umno, berkata parti lain dalam kerajaan gabungan hari ini hanya menyertainya selepas BN membantu PH memperoleh majoriti diperlukan pada 2022.
/file/attachments/orphans/pau1sdfd_503290.jpg)
Menurutnya, jika BN disingkirkan, PH akan kehilangan asas awal pembentukan kerajaan dan perlu mengembalikan mandat kepada rakyat.
"Ceplos, jangan cabar Umno keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
“Kerajaan Perpaduan jadi sebab Umno tahu. Perdana menteri (Anwar) jadi perdana menteri sebab sokongan Umno tahu.
“Bila sudah ada 153 (sokongan ahli Dewan Rakyat) engkau ingat... Saya bukan marah, saya cuma ‘hot' (panas),” katanya kepada ribuan perwakilan Umno.
Zahid menggunakan istilah ejekan “ceplos” bagi merujuk pihak yang disifatkannya sebagai penyokong tegar PH.
Dia turut berkata tiga ahli parlimen — Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen — telah meninggalkan PKR serta mengosongkan kerusi masing-masing di Dewan Rakyat.
Dalam sidang media kemudian, Zahid menjelaskan cabarannya itu tidak bermaksud BN akan mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar.
Walaupun Umno dan PH merupakan rakan dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, kedua-duanya terus bersaing secara politik di peringkat negeri.
Kerjasama PAS dan Umno meraih kemenangan besar pada pilihan raya DUN Negeri Sembilan.
Di Johor pula, PAS menggesa penyokongnya mengundi BN di kerusi yang tidak ditandingi PN.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/c05b7d148d029535f1ada3ae9c6c6582.jpg)
