Loke letak jawatan susulan pengampunan Najib
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke akan meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan sebagai reaksi terhadap pengampunan bersyarat kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung selama tiga jam di ibu pejabat parti itu di ibu negara hari ini.
Loke berkata, DAP bagaimanapun menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
"Kita capai satu keputusan saya tawarkan diri saya untuk meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan.
"Ahli-ahli jemaah menteri (DAP) yang lain akan kekal berada dalam kerajaan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat.
Semalam, Najib mendapat pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Perkara itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim susulan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Bekas presiden Umno itu akan menjalani tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, sekiranya dia membayar denda RM50 juta.
“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Loke berkata hanya dia menawarkan diri untuk meletakkan jawatan bagi memastikan kerajaan dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim kekal stabil.
Katanya, jika semua anggota jemaah menteri dari DAP meletakkan jawatan ia memberi ruang kepada kerajaan tumbang seperti diharapkan pihak lawan.
Tambah Loke, dia akan memaklumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan kepada perdana menteri dan akan mengambil masa bagi menyelesaikan beberapa kerjanya di kementerian berkenaan.
"Walaupun mereka (anggota kabinet dari DAP) juga sedia walau pada mana-mana waktu, apa-apa ketika, CEC buat keputusan mereka kekal untuk pastikan kerajaan stabil.
"Pendirian DAP diterjemahkan dengan peletakan jawatan saya sebagai menteri," tambahnya lagi.
Bercakap mengenai pengampunan Najib, Loke berkata belum pernah mana-mana individu yang terbabit dengan jenayah rasuah diletakkan di bawah tahanan rumah.
"Namun begitu kita hormati kuasa Agong," tambahnya lagi.
Semalam, Peguam Negara Dusuki Mokhtar menyatakan bahawa pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib hanya terpakai bagi hukuman penjara yang dikenakan dalam kes SRC International.
Penjelasan Dusuki itu bermakna Najib mungkin perlu kembali ke penjara memandangkan dia masih berdepan dengan beberapa kes jenayah lain di mahkamah.
Ini termasuk hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu selepas dia didapati bersalah atas 25 pertuduhan dalam kes 1MDB yang berasingan.
Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar denda sebanyak RM11.38 bilion. Najib sedang mengemukakan rayuan terhadap sabitan kesalahan tersebut.
Wanita DAP gesa dedah minit mesyuarat Lembaga Pengampunan
Dalam satu kenyataan di Facebook, Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching berkata bahawa keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang mendalam.
Dia juga menggesa kerajaan supaya mendedahkan minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Teo turut memuji kepimpinan Loke susulan keputusan yang dibuatnya itu.
"Keberanian dan kebijaksanaan Loke dalam membuat keputusan yang berani pada saat kritikal ini mencerminkan kualiti kepimpinannya serta prinsip yang sekian lama dipegang oleh DAP.
"Demi ketelusan dan akauntabiliti kepada umum, Wanita DAP menggesa kerajaan supaya mendedahkan minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan.
"Orang ramai berhak mendapat penjelasan yang menyeluruh mengenai pertimbangan dan proses yang membawa kepada keputusan ini," tambahnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/11/a0e62f6ccfe8897e51d4dc948e618536.jpg)
